"Siapa Kata Muzium Boring?" - Ini 5 Muzium Popular Di Malaysia Yang Confirm Korang Takkan Bosan!

TRAVEL
August 16, 2023 - 01:16 PM


Malaysia sarat dengan cerita sejarah, selain memaparkan pelbagai keunikan warisan seni budaya yang memberikan 1,001 macam kisah di sebaliknya.

Melawat muzium juga dapat memupuk semangat cintakan negara dengan menghayati naratif sejarah Malaysia yang bakal meraikan sambutan Hari Kebangsaan kali ke-66, pada 31 Ogos ini.

Justeru, anda boleh melawat lima muzium popular di negara ini untuk melihat khazanah sejarah, budaya dan pelbagai lagi yang mempunyai tarikan tersendiri.

1. MUZIUM NEGARA

Muzium Negara antara lokasi popular dikunjungi orang ramai termasuk pelancongan antarabangsa.

Objektif penubuhannya adalah untuk menjalankan aktiviti permuziuman seperti menyelidik, mengumpul, merekod dan menerbitkan segala khazanah warisan sejarah negara.

Mempamerkan dan memanfaatkan bahan artifak warisan sejarah negara bagi tujuan pendidikan masyarakat ke arah pembinaan jati diri dan pembangunan bangsa.

Reka bentuk bangunan Muzium Negara bercirikan elemen astetik dan ukiran bangunan istana Melayu tradisional salah satu produk pelancongan negara.

Keunikan reka bentuk bangunan tersergam indah itu dipilih oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, iaitu Perdana Menteri Malaysia pertama dan dirasmikan pada 31 Ogos 1963 oleh Yang di Pertuan Agong ke-III, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Syed Hassan Jamalullail.

* Lokasi : Jalan Damansara, Perdana Botanical Gardens, Kuala Lumpur.

* Operasi - 9 pagi - 5 petang

* Tiket : RM2

* Pelancong asing : RM5

2. RUMAH AGAM PERANAKAN PULAU PINANG 

Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang yang terletak di Georgetown adalah salah satu tumpuan pelancong yang datang ke Pulau Pinang.

Rumah Agam Peranakan berkenaan dibina pada akhir abad ke-19, adalah replika kediaman biasa Baba Nyonya Pulau Pinang dengan ciri-ciri panel kayu berukir Cina, jubin lantai Inggeris, dan kerja logam Scotland.

Menariknya, pelawat dapat melihat lebih 1,000 koleksi pelbagai barangan warisan turun-temurun keluarga Baba dan Nyonya.

Antara dipamerkan ialah pakaian tradisional, dan hiasan, perabot dan perkakasan dibeli dari Cina dan Eropah dan ditempah khas diwarisi sejak zaman-berzaman keluarga Baba dan Nyonya.

* Lokasi : No 29, Church St, Georgetown, 10200 George Town, Pulau Pinang

* Operasi : Jam 9.30 pagi hingga 5 petang

* Tiket : RM20 orang dewasa; RM10 (kanak-kanak); kanak-kanak bawah 6 tahun (percuma).

3. MUZIUM DAN GALERI SENI BANK NEGARA MALAYSIA

Terdapat enam galeri dengan pelbagai tema iaitu Galeri Kanak-kanak, Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam, Galeri Numismatik dan Galeri Seni.

Galeri itu menyelami ekonomi Malaysia, peranan Bank Negara Malaysia di dalam pembangunan ekonomi serta landskap kewangan negara sejak zaman pra-kemerdekaan sehingga kini.

* Lokasi: Sasana Kijang, 2, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur

* Operasi : 10 pagi - 5 petang (kecuali Isnin dan raya pertama Aidilfitri

* Masuk : Percuma

4. MUZIUM BUDAYA BORNEO 

Muzium Sarawak Baharu adalah mercu tanda baharu bandar raya Kuching, Sarawak meliputi dua bangunan iaitu Muzium Budaya Borneo dan Bangunan Pejabat Tambahan.

Muzium Budaya Borneo, bangunan lima tingkat moden dengan reka bentuk seni bina tersendiri yang mencerminkan kraf tradisional Sarawak yang unik dan kaya dengan warisan budaya.

* Lokasi : Jalan Tun Abang Haji Openg, 93400 Kuching, Sarawak

* Tiket : Antara RM5 - RM20

5. MUZIUM WONDERFOOD 

Sekiranya anda bercuti ke Pulau Pinang, jangan lepaskan peluang ke Wonderfood Penang, sebuah muzium makanan yang memaparkan replika makanan bersaiz gergasi secara realistik.

Sebuah bangunan diubah suai menjadi muzium itu memaparkan replika makanan tradisi pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India dalam saiz besar.

Di ruang lobi, menempatkan lebih 100 replika gergasi, selain replika miniatur di tampal pada dindingmengenai lokasi makanan bermula sejak zaman penjajahan.

Di bahagian Terowong Masa Pulau Pinang dipaparkan makanan sebelum kemerdekaan di kawasan pedalaman yang hanya menggunakan kayu api dan arang batu.

* Lokasi : No 49, Lebuh Pantai, George Town, Georgetown, Pulau Pinang

* Operasi : 9 pagi - 6 petang

* Tiket : Dewasa - RM20

: Kanak-Kanak - RM12

: Pelancong asing - RM30

: Pelancong asing kanak-kanak - RM20

Destination: