Sempena Sambutan 60 Tahunnya, Muzium Negara Nak 'Payung' Tiket Percuma 3 Hari Kepada Pengunjung!

TRAVEL
September 01, 2023 - 03:27 PM


Siapa yang dah lama teringin nak berjalan-jalan ke Muzium Negara, tetapi sehingga kini masih belum berkesempatan? Ini ada berita baik untuk anda!

Kerajaan akan memberikan tiket secara percuma kepada warganegara Malaysia untuk mengunjungi Muzium Negara pada 2, 3 dan 16 September ini.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata -- pemberian tiket itu bersempena dengan Sambutan 60 Tahun Muzium Negara dan Hari Malaysia.

“Sempena hari yang cukup bersejarah ini, tiket masuk ke Muzium Negara akan diberikan secara percuma selama tiga hari kepada semua warga Malaysia.

“Ajaklah keluarga, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga untuk mengunjungi Muzium Negara,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan 60 Tahun Muzium Negara dan Pelancaran Kapsul Masa.

Hadir sama Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin Kasim.

Selain itu, Aaron menyasarkan seramai 10,000 hingga 15,000 pengunjung akan hadir pada program selama empat hari itu.

“Pelbagai program menarik yang telah dirancang bersempena Sambutan 60 Tahun Muzium Negara.

“Antaranya Pameran, Larian 60 Tahun Muzium Negara, Mini Konsert, Pertandingan, Gerai Jualan, Malam Gema Puisi serta Majlis Apresiasi Media dan Rakan Strategik,” katanya.

Sementara itu, katanya, Muzium Negara telah menerima kehadiran lebih 80,759,578 pelawat sehingga Julai 2023.

Beliau berkata -- antara pameran ‘blockbuster’ yang mendapat sambutan ialah Pameran Tamadun Islam, Pameran Mata Wang Dunia, Pameran Khazanah Dari Kubur, Pameran Kecantikan Bengkung Kaki dan Pameran Keris Nusantara.

“Turut mendapat sambutan menggalakkan ialah pameran yang melibatkan pelbagai kaum seperti masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Cina, India, etnik Sabah, etnik Sarawak dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, sepanjang enam dekad penubuhannya -- Muzium Negara telah berjaya mengadakan pameran dengan kerjasama strategik pelbagai pihak sama ada dalam negara atau luar negara.

“Antara negara luar yang bekerjasama dengan Muzium Negara bagi mengadakan pameran termasuk negara-negara Asean, China, Kazakhstan, India, Republik Czech, United Kingdom, USA dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, penganjuran program itu membuktikan kesatuan dan kerjasama utuh di antara muzium dengan masyarakat mampu menyumbang kepada pembangunan sosial.

“la sejajar dengan matlamat utama Dasar Perpaduan Negara yang memperkasa usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: