Siapa Kata Bali Untuk Honeymoon Je? Bawa Anak-Anak Bercuti Dengan 'Haiwan Safari Dalam Hotel' Pun Menarik!

TRAVEL
July 25, 2022 - 12:24 PM


Pesona keindahan Pulau Dewata Bali, Indonesia sudah tidak perlu diragukan lagi.

Setiap tahun boleh dikatakan Bali menjadi pilihan sebagai Destinasi Bulan Madu popular di peringkat dunia!

Selain kaya dengan kebudayaan, seni dan tradisi unik -- Bali juga melengkapkan impian percutian pasangan ataupun individu dengan keindahan alam semulajadi serta pantai dan pulau yang cukup menakjubkan.

Tetapi jika percutian dengan membawa keluarga, terutama anak-anak kecil -- biasanya Bali bukan menjadi pilihan utama. Itu silapnya!

Tanpa ramai mengetahui sebenarnya Bali juga mempunyai tarikan buat anak-anak kecil, yang rugi jika ibu bapa tidak menyedarinya. 

Ini kerana ada beberapa hotel dan tarikan di Bali yang menampilkan konsep percutian mesra keluarga dan kanak-kanak bagi memberikan keseronokan kepada mereka!

Antara yang menjadi kegemaran golongan ibu bapa adalah "Mara River Safari Lodge" yang terletak di Gianyar, Bali.

Jom ikuti perkongsian seorang ibu muda, Shafiqah Fadzil yang baru-baru ini telah membawa dua anak lelakinya untuk bercuti ke resort berkonsepkan percutian dalam safari di Bali itu.

PERCUTIAN SEAKAN MASUK KE HABITAT HIDUPAN LIAR

Apabila melancong kemana-mana sahaja bersama anak-anak kecil, tak kiralah di dalam atau luar negara semestinya kita akan mencari tempat tarikan untuk kanak-kanak supaya mereka dapat berseronok. 

Baru-baru ini, saya dan keluarga melancong ke Bali. Umum tahu Bali adalah satu tempat peranginan yang terkenal dengan pemandangan lautnya yang cantik serta gunung-ganang yang indah. Selain itu budaya dan adatnya juga menarik minat pelancong untuk ke sana.

Tetapi mungkin tak ramai yang tahu bahawa Bali mempunyai Zoo Safari yang sangat menarik di mana kita dapat menginap di hotel di dalam safari tersebut.

SARAPAN SAMBIL DITEMANI HAIWAN SAFARI

Bayangkan bangun pagi sambil menghirup kopi panas di balkoni sambil melihat haiwan-haiwan seperti kuda belang, badak sumbu, dan zirafah, terasa seperti di Afrika.

Selain itu, kita juga boleh memberi makanan kepada haiwan tersebut yang telah disediakan oleh pihak hotel. 

Tentunya anak-anak sayalah yang paling enjoy! Apatah lagi dapat bersarapan di ruang restoran dengan dinding kaca di mana terlihat jelas beberapa ekor singa berkeliaran ke sana sini. 

Setelah selesai bersarapan, di luar restoran ada sesi memberi makanan kepada gajah yang jinak! Bayangkan anak-anak dapat merasai pengalaman yang paling berharga dalam hidup mereka apabila berpeluang berdiri di sebelah gajah tanpa sebarang penghadang. 

SAFARI TOUR & FEED THE PREDATORS

Kini, tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak iaitu ‘Safari Tour’!

Menaiki safari tram, kami dibawa melihat bermacam jenis haiwan di habitat mereka, bukan sahaja haiwan dari Indonesia tetapi juga terdapat haiwan dari India dan Afrika.

Seronoknya pengalaman ini adalah disebabkan kita dapat melihat sendiri haiwan-haiwan bebas di habitat mereka dengan jarak yang sangat dekat dan bukannya di dalam kandang seperti zoo. 

Selain ‘safari tour’ terdapat juga banyak aktiviti-aktiviti lain yang dapat kita sertai, salah satunya kami sekeluarga menyertai aktiviti ‘feed the predators’.

Dengan menaiki tram berjeriji, saya dan anak-anak dapat memberi makan kepada “king of the jungle” singa dan juga harimau.

PERCUTIAN YANG KESERONOKANNYA DISEBUT ANAK-ANAK HINGGA KE HARI INI

Malah kami juga berpeluang menyentuh dengan tangan sendiri badan harimau. Ini adalah pengalaman yang paling tak dapat dilupakan. Bukan sahaja anak-anak yang seronok, ibu bapa pun tak kurang rasa teruja! 

Ini merupakan trip “bonding time” yang paling berharga buat kami dan anak-anak.

Sehinggakan sampai ke hari ini, anak-anak masih seronok bercerita mengenai trip safari tersebut.

Mara River Safari Lodge ini sebenarnya terletak di Bali Safari dan Marine Park. Resort ini dijamin akan memberikan pengalaman menginap yang berbeza dan takkan terlupakan.

Ini kerana bermalam di sini umpama korang menginap dan bercuti sambil ditemani oleh kumpulan haiwan liar seperti zebra, badak sumbu, gajah bahkan Raja Rimba iaitu singa.

Kalau korang makan malam di restorannya iaitu Tsavo Lion Restaurant, korang siap boleh melihat sendiri singa lalu-lalang di situ. Menarik, kan?

Kadar sewa untuk satu malam di resort ini bermula 2.8 juta Rupiah atau RM846 untuk bilik Swala Deluxe.

Kredit: Shafiqah Fadzil

BACA JUGA: Wow, 5 Hotel Unik Di Bali Ini Confirm Buat Cuti Korang Gempak!

Destination: