'Stranger Things' Kafe Dibuka Di Tokyo, Jepun

TRAVEL
August 18, 2022 - 03:23 PM


Sebuah kafe yang diilhamkan daripada siri popular sains fiksyen Netflix, Stranger Things dibuka di Jepun dengan mendapat sambutan luar jangkaan daripada peminat drama tersebut.

Menurut laporan stesen penyiaran CNN -- premis yang menjalankan perkongsian dengan rangkaian restoran tempatan, Pronto Corp itu membuka cawangan di daerah Shibuya, Tokyo beberapa bulan lalu dan dikenali sebagai "Stranger Pronto".

Bahagian dalam kafe itu mempunyai replika kedai dan set daripada rancangan itu yang digambarkan seperti berada di bandar Hawkins, Indiana. Ia turut mempunyai ‘dunia cermin gelap’ yang dipanggil ‘Terbalik’.

Pengunjung boleh merakam gambar bersama patung raksasa Demogorgon sambil mendengar lagu-lagu daripada siri Stranger Things seperti Running Up That Hill yang dimainkan di kafe itu.

Selain itu, pelanggan berpeluang menikmati makanan yang diilhamkan daripada siri berkenaan seperti pasta dakwat sotong yang disusun menyerupai kepala raksasa atau wafel yang diidamkan oleh watak Eleven.

Namun, bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, pengunjung perlu membuat tempahan sebelum pergi ke restoran dan hanya kira-kira 20 orang dibenarkan masuk pada setiap jam.

“Setiap hari pada tengah malam, saya cuba menempah meja menggunakan telefon. Akhirnya, saya berpeluang hari ini kerana seseorang telah membatalkan tempahan,” kata seorang pelanggan, Kimiko Nakae.

Stranger Things kekal sebagai salah satu daripada 10 rancangan penstriman terbaik di Jepun sejak tayangan musim keempatnya pada Mei lalu.

 

Destination: