Tak Jadi Bina Di Cyberjaya. Taman Tema Upin Ipin Bakal Siap 3 Tahun Lagi Di Lokasi Baru, Melaka!

TRAVEL
September 05, 2023 - 06:06 PM


Impian mewujudkan Taman Tema Upin Ipin sudah tercetus sejak siri animasi popular yang mengetengahkan watak kembar seiras itu diterbitkan sejak hampir dua dekad lalu.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkongsi impian syarikat animasinya membangunkan Taman Tema Upin Ipin bakal menjadi kenyataan dalam tempoh tiga tahun.

Burhanuddin berkata, taman tema itu sememangnya sudah lama dirancang -- namun untuk merealisasikannya bukannya mudah kerana memerlukan perbelanjaan besar dan perancangan teliti.

"Nak buat taman tema bukan murah. Kami sudah banyak menerima tawaran tanah di Cyberjaya, Negeri Sembilan dan beberapa lokasi lagi. Namun, semua tanah itu mahu dijual, mana saya ada duit.

"Saya ada bertemu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sekitar beberapa bulan lalu. Saya mahu mengundangnya merasmikan Karnival Upin dan Ipin yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), antara 15 sehingga 17 Disember depan.

"Dalam pertemuan ini, beliau beritahu saya mahu bekerjasama membangunkan taman tema di Melaka. Saya tanya ada tanah atau tidak.

"Beliau minta saya tulis surat dan kemudiannya minta Melaka Corporation (MCorp) cari tanah yang sesuai," katanya kepada BH Online.

Tambah Burhanuddin, selepas bermesyuarat bersama MCorp kira-kira tiga minggu lalu, mereka ada menunjukkan tanah seluas 40 hektar di Alor Gajah, berdepan dengan A Famosa Resort Melaka.

"Tanah ini sudah dibersihkan dan diratakan. Memang cantik tanah ini, tetapi MCorp tidak mahu menjualnya, sebaliknya mahu ambil syer dalam projek ini.

"Jadi, kami berbincang tanggung hutang bersama, selain kami buat pinjaman bank atau keluarkan suku modal.

"Sekarang MCorp jadi rakan kongsi, jadi lebih memudahkan urusan. Saya suka jika taman tema ini diwujudkan di Melaka kerana sememangnya bandar pelancongan dan ramai pelancong Indonesia ke Melaka," katanya.

Berikutan itu, Burhanuddin berkata, projek itu kemungkinan akan bermula pada hujung tahun ini dan dijangka dibuka secara berperingkat sekitar 2026 sehingga 2027.

"Kami mungkin 'kick off' tahun ini memandangkan tanah pun sudah ada, jadi kena rancang dengan teliti. Selepas ini, kami kena cari kontraktor yang boleh buat. Dua hingga tiga bulan ini kami mahu mengusahakan modal dan menganggarkan perbelanjaan menelan RM700 juta.

"Taman tema ini seperti Disneyland. Kami sasarkan tiga tahun sudah boleh buka, tetapi buka secara berperingkat," katanya.

Sejak 2018, Les' Copaque Production sudah ditawarkan beberapa bidang tanah termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Ipoh, Perak; Johor Bahru dan Negeri Sembilan.

Siri Upin Ipin diperkenalkan di saluran TV sejak 2007 turut difilemkan pada 2009 dan tahun ini, siri animasi si kembar juga ditonton menerusi pentas teater muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom!

Sumber: Berita Harian

Destination: