Tarikan Batu Granit Yang Viral Di Perak Rupanya Milik Persendirian, Ditutup Kepada Umum!

TRAVEL
August 15, 2022 - 02:15 PM


Kawasan batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar yang gambarnya viral dalam media sosial baru-baru ini disahkan milik persendirian dan lokasi itu tidak dibuka kepada umum!

Oleh itu, pihak kerajaan Negeri Perak menasihatkan orang ramai supaya bersabar serta tidak menyerbu kawasan tersebut sebelum mereka melakukan perbincangan bersama pemilik tanah.

Ini kerana dibimbangi berlaku sesuatu di luar jangka dan pemilik tanah terpaksa bertanggungjawab di atas isu keselamatan pengunjung.

"Banyak yang sudah viralkan, ia ada isu keselamatan di situ sebab apabila menjadi viral orang cuba masuk tetapi pemilik tutup.

"Kerana mereka takut daripada keselamatan mungkin ada kemalangan yang akan berlaku, tanggungjawab akan jatuh kepada pemilik kerana ia atas tanah milik.

"Jadi saya nasihatkan untuk bersabar dahulu untuk kita membuat pengumuman selepas ini, sekiranya tempat itu selamat untuk dilawati dan sesuai untuk dikunjungi," kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Tidak menolak hakikat bahawa lokasi menarik itu tular di media sosial baru-baru ini, beliau mengakui banyak aspek perlu diperhalusi termasuk isu keselamatan orang ramai.

"Kita akan mulakan proses untuk berunding dengan pemilik tapak melihat bagaimana kita boleh mengangkatnya sebagai geotapak.

"Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah telah menghubungi pemilik tanah berkenaan dan insya-Allah kita akan minta Taman Negeri bersama Jabatan Mineral dan Geosains untuk buat pemantauan awal.

"Ia bagi melihat sama ada betul atau tidak kita boleh angkat sebagai geotapak yang baharu," katanya.

Bagaimanapun keputusan akhir mengenainya tertakluk kepada kesanggupan pemilik tanah di kawasan itu sama ada bersetuju untuk membangunkan ia sebagai geotapak ataupun tidak.

Destination: