The Gemalai Village, Langkawi - Chalet Percutian Vibes Kampung, Dengan View Kerbau Jinak Depan Mata!

TRAVEL
September 14, 2023 - 07:00 PM


Jika bercuti ke pulau peranginan popular di utara tanah air iaitu Pulau Langkawi, pasti ramai antara anda yang suka memilih penginapan di hotel atau resort yang mempunyai pemandangan pantai, laut ataupun kolam renang yang luas kan?

Tetapi bagi menjadikan percutian anda yang dah kerap kali ke Pulau Langkawi itu menjadi lebih menarik dan menyeronokkan -- apa kata anda 'ubah angin' mencuba penginapan yang berkonsepkan ala kampung dengan pemandangan sawah padi yang menakjubkan dan paling "mahal" adalah pengalaman melihat dan berada dekat sangat bersama kawanan kerbau di depan mata!

Pengalaman percutian sebegini yang jarang didapati di tempat lain, dapat dirasai sekiranya anda menginap di THE GEMALAI VILLAGE, Pantai Cenang, Langkawi.

Baru-baru ini Rileklah berkesempatan merasai sendiri pengalaman menginap selama 3 hari 2 malam di The Gemalai Village yang sememangnya terkenal di kalangan pelancong antarabangsa yang gemar serta ingin merasai sendiri pengalaman bermalam di rumah kampung atas bendang.

PENGINAPAN JENIS DANGAU & TERATAK

Sebenarnya kalau anda nak tahu, The Gemalai Village merupakan chalet berkonsepkan ala kampung yang mempunyai keunikan seni bina tradisional dengan keselesaan dan kemudahan moden.

The Gemalai Village menawarkan dua jenis penginapan kepada tetamunya iaitu :

1) DANGAU - Single Chalet
2) TERATAK - Chalet Bertingkat


Keseluruhan chalet di The Gemalai Village berjumlah 3 Dangau dan 3 Teratak serta kesemuanya dikelilingi  kehijauan alam semula jadi dan keunikan pemandangannya adalah bergantung mengikut musim.

Setiap penginapan direka dengan gaya tempatan yang memberikan pengalaman autentik desa kepada para tetamu.

Meskipun begitu, anda tidak perlu risau kerana segala kemudahan seperti penghawa dingin, tv, cerek, peti ais, seterika, iron board, pemanas air serta kelengkapan mandi semua lengkap tersedia buat tetamu.

Paling min suka sabun dan shampoo yang disediakan The Gemalai Village memang unik sebab semuanya berasakan herba dan wangian tradisional. Memang lembut je kulit dan rambut min lepas guna! Hehehe...

VIEW KERBAU DI BENDANG & PORT OOTD CANTIK

Lebih menarik apabila jika anda buka almari -- anda akan melihat beberapa pasang kain batik dan juga baju kurung Kedah turut tersedia khas buat tetamu menggayakannya sebagai 'outfit of the day' (OOTD) untuk bergambar Instagrammable di spot-spot cantik di The Gemalai Village. Memang cunz!  

Min pun ada cuba memakai persalinan tersebut dan apabila bergambar dengan baju kurung Kedah serta kain batik, terus buat min fefeeling persis gadis Melayu terakhir gitchewww....

Bukan itu sahaja, malah menginap The Gemalai Village ini adalah pengalaman kali pertama min sebagai budak bandar melihat kerbau serta berada dekat dengan mereka, punyalah min teruja setiap kali kerbau-kerbau itu datang mendekat cepat-cepat min keluarkan handphone dan rekod video dorang!

Semasa di The Gemalai Village, min menginap di salah sebuah Teratak mereka di mana kelebihan Teratak berbanding Dangau adalah selain kita tidur di tingkat atas dengan pemandangan tinggi 360 darjah yang sangat mempesonakan -- Teratak juga ada disediakan port lepak di bahagian bawah untuk anda menjamu selera atau sekadar nak duduk-duduk santai sambil menikmati pemandangan indah sekeliling pun boleh.

Min hari tu siap enjoy pemandangan kapal terbang silih berganti melalui ruang udara The Gemalai Village, disebabkan lokasi penginapan tersebut sangat dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Memang cukup mendamaikan suasana di situ. Tenang dan aman sangat. Hilang segala serabut dan stress masalah sekejap. 

Penginapan di The Gemalai Village ini biasanya akan dapat sekali dengan pakej sarapan. Jadi merasalah anda bersarapan ala kampung sambil menikmati pemandangan desa yang pastinya menggamit memori zaman kecil-kecil jika pulang ke kampung nenek dan atok.

RESTORAN KERISIK TAWAR HIDANGAN BERKONSEP TALAM

Jika pada waktu tengah hari atau makan malam anda ingin mengisi perut dengan menu hidangan kampung yang lazat -- jangan lupa untuk singgah menjamu selera di Restoran Kerisik yang tak jauh pun dari The Gemalai Village itu hanya 10 minit sahaja berjalan kaki.

Apa yang menarik di Restoran Kerisik yang terletak di Laman Padi itu ialah selain ada tempat makannya yang berkonsepkan duduk bersila di dalam pondok -- semua hidangan di sini juga bertemakan makanan talam.

Ada 5 pilihan set juadah lauk kampung yang ditawarkan seperti set Cenang, Kedawang, Sunda, Tuba dan Padang Lalang. Paling menarik set talam ini didatangkan dengan Nasi Kukus Buluh.

Perbezaan hidangan-hidangan talam ini adalah mengikut jenis lauknya selain boleh dinikmati oleh 2, 4 atau 6 orang makan.

Harganya pula adalah sangat berbaloi antara RM56 hingga paling mahal pun cuma RM200.

Tetapi jika datang menjamu selera di Restoran Kerisik ini anda jangan lupa untuk mencuba minuman istimewa yang hanya ada di sini iaitu "Air Bunga Telang Selasih".

Apa istimewanya air ini ialah ia menggunakan Bunga Telang atau nama saintifiknya Clitorea Ternatea -- sejenis tumbuhan yang digunakan sebagai pewarna dalam pemakanan seperti sajian Nasi Kerabu dan Bunga Telang ini mengandungi banyak khasiat dan manfaat terhadap kesihatan tau!

Lebih menarik jika anda makan di Restoran Kerisik ini, pelayan yang akan membawa hidangan ke meja anda akan berpakaian lengkap seperti hulubalang atau pahlawan Melayu siap bertanjak lagi. Memang vibes Melayu zaman dahulu kala sungguh!!

Best, kan kalau bercuti di The Gemalai Village ini. Memang boleh jadi tempat healing gitu!

Jika anda nak dapatkan pakej penginapan dengan harga berpatutan anda boleh layari langsura.com.my atau Facebook The Gemalai Village.

VIDEO PERCUTIAN RILEKLAH DI THE GEMALAI VILLAGE LANGKAWI

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Rileklah (@officialrileklah)

Destination: