Acara "Thai Hot Guy" Tak Hormat Bulan Ramadan. Banyak Laporan Dibuat, Termasuk Ke Pejabat PM!

TERKINI
March 22, 2023 - 02:52 PM


Bermula esok (23 Mac 2023) -- umat Islam di negara kita dijangka akan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Dalam pada kita sibuk bersedia untuk meningkatkan amal ibadah di bulan yang mulia, siapa sangka ada juga kes yang akan mencalarkan imej negara sebagai sebuah negara yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia.

Ini apabila dijangka pada 30 Mac ini terdapat sebuah premis restoran yang menganjurkan sebuah acara hiburan menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai "Thai Hot Guy"!

Acara yang bakal dianjurkan di Privacy Club, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu bagaimanapun mendapat pelbagai kecaman, laporan polis daripada beberapa parti politik serta terbaharu turut dilaporkan kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri sendiri.

Ia susulan acara berkenaan dianggap tidak menghormati sensitiviti rakyat Malaysia serta dilihat sebagai tidak bermoral dan menjijikkan.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Bidin berkata, pihaknya juga telah meneliti laporan berkenaan dan hasil siasatan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati premis yang akan menganjurkan acara berkenaan dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, lesen restoran syarikat terbabit telah tamat pada 4 Februari 2021.

Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan.

Dilaporkan ketika ini, DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan bantahan beberapa pihak terhadap penganjuran acara hiburan dikatakan tidak menghormati sensitiviti rakyat Malaysia serta dilihat sebagai tidak bermoral dan menjijikkan.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: