Air France Bakal Lengkapi Bagasi Penumpangnya Dengan Teknologi RFID Bermula 2020

TERKINI
August 01, 2019 - 02:27 PM


Bermula tahun depan, kira-kira 8 juta bagasi yang diperiksa di kaunter Air France di Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle akan dilengkapi dengan tag yang mengandungi cip RFID (sistem frekuensi radio), bertujuan membantu mengesan setiap beg tersebut sepanjang proses penerbangan.

Dengan teknologi terbaharu itu setiap bagasi atau barangan yang didaftar masuk akan disambungkan dengan maklumat pemiliknya dari jarak jauh.

Teknologi ini juga diaplikasikan bagi memberi keyakinan kepada para penumpang Air France yang takut kehilangan bagasi mereka sepanjang perjalanan.

Penambahbaikan perkhidmatan itu adalah hasil kerjasama antara syarikat penerbangan berkenaan dan Paris Aéroport.

Malah, semua terminal di keseluruhan lapangan terbang yang dikenali sebagai "Lapangan Terbang Roissy" itu juga bakal dilengkapi dengan teknologi RFID.

Pada awal tahun ini, China Eastern adalah syarikat penerbangan pertama yang melaksanakan teknologi RFID, yang disepadukan dalam aplikasi WeChat untuk membolehkan pelancong mengetahui lokasi sebenar bagasi mereka berada.

Di Eropah pula, British Airways maju selangkah lagi apabila mengaplikasikan tag digital menerusi teknologi Bluetooth.

Tag tersebut mengandungi cip RFID dan membolehkan pengguna membuat pendaftaran diri melalui aplikasi telefon pintar.

Menurut laporan IATA 2018, 4.6 bilion bagasi diperiksa setiap tahun dan dijangka meningkat dua kali ganda pada tahun depan.

Sumber: The Star