Anak Jati Langkawi Merungut Tak Dapat Harga Istimewa Tiket Feri, Tapi Rupanya Ada Sebab...
TERKINIMasih ramai penduduk atau anak jati langkawi belum dapat menikmati potongan harga tiket feri yang dibeli menerusi pembelian secara dalam talian atau online sejak dilaksanakan 1 Oktober lepas.
Itu rungutan penduduk langkawi terutama mereka yang berulang-alik dari pulau itu untuk bekerja atau belajar di luar langkawi serta menggunakan perkhidmatan feri sebagai pengangkutan utama.
Ini kerana dakwa mereka, potongan harga RM16 yang diberikan khas kepada anak langkawi masih lagi dibeli dengan harga seperti orang luar iaitu RM21 untuk dewasa, melainkan jika mereka membelinya secara terus di kaunter jualan.
Berdasarkan tinjauan di Jeti Kuah, Langkawi -- seorang anak jati Langkawi yang baru berusia 18 tahun, Siti Nur Anissa Mohd Yusoff berkata dia sering ulang-alik menggunakan perkhidmatan feri kerana masih belajar di sebuah universiti di Perak.
Disebabkan tidak mengetahui bahawa untuk mendapatkan diskaun istimewa itu memerlukan pengesahan menerusi borang permohonan kepada syarikat konsortium feri Langkawi.
"Perjalanan hari ini disebabkan baru tahu tiket feri tu untuk rakyat langkawi dapat RM16 so baru tahu hari ini belum apply RM21 la kena nak datang sini. Dia caj macam orang biasa daripada Kuala Perlis ke Langkawi", katanya.
Sementara seorang lagi penduduk Langkawi yang ditemui di Dataran Lang, Nora'ani Saad turut mengakui membayar harga tiket seperti penumpang luar Langkawi memandangkan anaknya sering membelikannya menerusi tempahan online.
"Sekarang ni beli online la harga biasa macam orang luar. Selalu tu kalau beli biasa kat kaunter memang harga dapat la harga tu kalau beli online tak dapat. Rasa renyah jugalah sebab kalau nak kaunter kena bawa kad pengenalan kalau lima orang lima oranglah kena bawa kad pengenalan tu"
"Saya rasa memang berhaklah kalau online pun kita penduduk langkawi patutnya memang dapat harga macam orang Langkawi lah tak sepatutnya bagi harga macam orang luar", kata wanita itu.
Dalam pada itu, ketika membuat tinjauan di Ibu Pejabat Ferry Line Ventures bagi melihat sendiri apakah proses sebenar yang perlu dilakukan anak jati langkawi sekiranya ingin mendapatkan diskaun harga tersebut menerusi pembelian online.
Menurut pihak konsortium di situ, penduduk Langkawi sememangnya perlu mendaftar buat pertama kali dengan memuat naik borang yang disediakan di laman web langkawi ferry line dot com, mengisi butiran dan menghantar borang berkenaan bersama salinan kad pengenalan secara fizikal ke pejabat itu bagi semakan.
Langkah pengesahan itu diambil bagi mengelak penumpang yang tidak layak membeli tiket yang dikhaskan untuk penduduk Langkawi daripada berbuat demikian.
Setakat ini potongan harga hanya disediakan untuk penduduk langkawi dan tidak ditawarkan kepada mereka yang bekerja di pulau peranginan popular itu.
Tetapi harga istimewa itu juga hanya boleh dinikmati mereka jika membeli tiket menggunakan laman web Syarikat Langkawi Ferry Line, dan bukannya melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi yang mengendalikan penjualan tiket feri ketika ini.
Syarat berkenaan juga agak mengecewakan buat mereka yang rata-rata sememangnya menggunakan aplikasi berkenaan bagi membuat pembelian tiket online.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib mengakui pihaknya ada menerima aduan sama.
Beliau berharap Konsortium Ferry Line dapat mempertimbangkan suatu kaedah yang lebih mesra rakyat seperti permohonannya juga boleh dihantar secara online tanpa perlu kehadiran fizikal ke pejabat.
"Kita memang banyak mendengar rungutan-rungutan tentang perkhidmatan feri ini dan kita mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pihak syarikat dan berhubung dengan pembelian secara online masih pada harga lama ataupun harga biasa itu adalah sesuatu yang baru dan kita harap syarikat feri dapat mempertimbangkan perkara ini agar dia nampak lebih mesra dan lebih friendly kepada penduduk tempatan di Langkawi", jelas Nasaruddin ketika ditemui di pejabatnya di Langkawi.
Untuk rekod pada 4 ogos lalu tiket bagi perkhidmatan feri keluar masuk ke langkawi dinaikkan dengan kadar baharu menyaksikan harga tiket feri bagi laluan kuala perlis-langkawi kini RM21 bagi dewasa dan RM16 bagi kanak-kanak.
Manakala bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi pula tiket bagi dewasa RM26.50 dan RM20.50 untuk tambang kanak-kanak.
Bagaimanapun khas bagi penduduk langkawi, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU) masih kekal menikmati tambang feri yang sama dan boleh menikmati harga itu melalui pembelian di kaunter jualan.