"Banyaknya 'Hiasan' Tepi Jalan" - Isu Sampah Negeri Kelantan Yang Tak Berkesudahan

TERKINI
July 17, 2023 - 05:51 PM


Akhir minggu lalu heboh dengan satu ciapan di Twitter oleh lelaki dikenali sebagai Suffi Kamari yang menunjukkan longgokan sampah tidak dipungut di Hulu Langat dan merakamnya pada jam 3 pagi.

Ramai yang memandang serius hal tersebut dan ada juga yang membandingkannya dengan pengurusan sampah di negeri Kelantan. Ada yang bersetuju dan ada juga yang 'melatah' apabila ada orang sesuka hati memetik negeri berkenaan serta menunjukkan situasi yang kurang enak.

Lelaki yang dikenali sebagai @HermyRahim di Twitter-nya mendedahkan pengurusan sampah yang teruk sepanjang jalan daripada Terengganu ke Kelantan. Dalam video tersebut banyak tong-tong sampah besar diletakkan di tepian jalan dan berlonggok sehingga merosakkan pemandangan.

Video berdurasi 57 saat dan lebih 1 juta tontonan itu mendapat pelbagai reaksi warganet dan seakan-akan tidak terkejut jika isu ini daripada negeri berkenaan.

"Bukan 3 pagi, dah nak dekat tengahari ni. Sampah berlambak tepi jalan. Bukan di Selangor" kata Hermy.

Walaupun tidak diberitahu negeri mana yang didedahkan, daripada rupa jalan dan 'suasana' saja orang dah tahu itu di Kelantan. Ramai yang menyindir negeri tersebut seolah-olah kotor dan tidak mementingkan kebersihan.

Menjengah ke ruangan komen, ramai rakyat Kelantan sedih dan kecewa dengan pengurusan sampah di negeri tersebut yang tak pernah ada solusi dan hanya menuding jari apabila isu ini diketengahkan.

"Sebab tu aku tak setuju kalau mana-mana kerajaan negeri nak hapuskan cukai pintu. Ini-lah jadinya, sampah merata-rata" ciap @ams1610.

"Saya orang Kelantan and I thank you for raising this issue. Kat KB (Kota Bharu) ada je signboard jaga kebersihan-lah apa-lah, tapi isu sampah memang tak pernah selesai. Tak tahulah kenapa. Sedih" kata @nnymds yang jelas kecewa dengan isu pengurusan sampah ini.

Rata-rata rakyat Kelantan sedih dan tidak tahu apa lagi inisiatif serta cara harus dibuat kerajaan negeri untuk membendung masalah longgokan sampah di merata tempat yang serius ini. 

Rakyat menuding jari pada pentadbir, pentadbir menuding jari pada rakyat kembali. Maka, tiada penyelesaian yang dibuat. Adakah isu ini harus diambil oleh pentadbir semasa atau rakyat semata-mata?