Beijing Bakal Buka Lapangan Terbang 'Tapak Sulaiman Gergasi', September Ini

TERKINI
July 01, 2019 - 07:36 PM


Negara paling ramai penduduk di dunia iaitu China bakal mempunyai sebuah lapangan terbang gergasi yang boleh menerima sejumlah 100 juta penumpang dan 620,000 penerbangan setahun!

Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing, Beijing itu yang mengambil inspirasi bentuk tapak sulaiman telah pun sedia untuk perasmiannya pada 30 September nanti, sehari sebelum ulang tahun sambutan pentadbiran kerajaan Komunis ke-70 di republik tersebut iaitu 1 Oktober 1949.

Terletak 46 kilometer di selatan Dataran Tiananmen dan mempunyai 4 landasan penerbangan, lapangan terbang baharu itu dijangka beroperasi pada kapasiti penuh pada tahun 2025.

Namun, menjelang tahun 2040, hab udara itu dijangka berkembang kepada lapan landasan termasuk satu untuk kegunaan ketenteraan serta menawarkan terminal tunggal terbesar di dunia.

Ia bakal menewaskan Lapangan Terbang Atlanta di Amerika Syarikat yang ketika ini boleh menerima lebih daripada 100 juta penumpang, tetapi melibatkan dua buah terminal.

Lapangan Terbang Daxing yang sedia ada kini – yang kedua terbesar di dunia – sudahpun sesak dengan 100 juta penumpang setahun.



Pengangkutan udara di China semakin pesat berkembang, dengan negara itu bakal menyaksikan 1.6 bilion penerbangan setahun bermula tahun 2037 – iaitu pertambahan 1 bilion berbanding tahun 2017.

Beijing yang berpopulasi 21 juta orang, menjangkakan kedatangan 170 juta penumpang pesawat pada tahun 2025.



TRIVIA LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA DAXING:


Keluasan: 700,000 meter persegi (kira-kira saiz 100 padang bola)
Arkitek: Zaha Hadid
Integrasi: Stesen kereta api dan metro untuk menghubungkan penumpang ke pusat bandar raya
Kos: 120 bilion Yuan (RM72.4 bilion)
Hab penerbangan: Delta Air France, KLM, Eastern Airlines dan China Southern Airlines

Sumber: Astro Awani