Walaupun Negaranya Kedua Paling Tinggi Kes Positif COVID-19, Rusia Bakal Sambung Penerbangan Antarabangsa Julai Ini

TERKINI
May 19, 2020 - 02:09 PM


Meskipun negaranya kini hanya di belakang Amerika Syarikat sebagai negara paling banyak merekodkan kes positif COVID-19 -- namun Rusia dijangka menyambung semula perkhidmatan udara antarabangsanya mulai Julai ini, manakala penerbangan domestik dimulakan secara bertahap pada Jun.

"Penting untuk kita mengetahui negara mana yang selamat dikunjungi rakyat kita. Banyak negara Eropah sudah mula membuka sempadan mereka secara berperingkat. Kita akan menilai perkembangan semasa."

"Sudah tentu, cadangan doktor dan pakar menjadi panduan kami, dan kami berharap keputusan untuk meneruskan penerbangan mungkin dapat dilaksanakan pada Julai, tetapi ia tetap bergantung keadaan negara yang hendak dituju," kata Menteri Pengangkutan Yevgeny Dietrich pada Sabtu.

Beliau berkata keputusan daripada ibu pejabat operasi dan kerajaan juga menjadi syarat untuk meneruskan penerbangan antarabangsa.

Pada masa sama, menurutnya, pengangkutan udara domestik bakal dibuka semula mulai separuh kedua bulan Jun.

Sumber: Bernama

Destination: