Penerbangan Domestik Dibenar Operasi Semula

TERKINI
April 30, 2020 - 04:46 PM


Ketika ini banyak negara yang telah mula melonggarkan perintah berkurung untuk rakyat masing-masing dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Terbaharu, syarikat penerbangan tempatan telah dibenarkan untuk meneruskan semula penerbangan domestik selagi mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada halangan kepada syarikat penerbangan untuk meneruskan perkhidmatan itu memandangkan ia sudah pun mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan.

"Penerbangan domestik memang kita benarkan seperti saya umumkan (sebelum ini) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang masih lagi meneruskan penerbangan begitu juga dengan MAS (Malaysia Airlines) ke Sabah dan Sarawak.

"Malah ramai yang meminta supaya ditambah jadual penerbangan. Jika AirAsia terbang ke Sabah dan Sarawak, saya percaya ini juga bagi menampung keperluan penumpang yang mungkin tidak boleh terbang dalam waktu mereka kehendaki kerana MAS hanya sekali seminggu sahaja," katanya ketika sidang media harian PKP hari ini.

Semalam, AirAsia menyambung semula penerbangan domestik bermula di negara ini diikuti beberapa negara lain di Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, SOP sama dikekalkan yang mana penumpang mesti mendapat kelulusan polis sebelum mengambil penerbangan ke destinasi tertentu.

Katanya, begitu juga bagi perjalanan ke Sabah dan Sarawak iaitu penumpang perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebaik tiba di negeri berkenaan.

Sumber: Harian Metro

Destination: