Betul Ke Kita Bakal 'Raya Terkejut' Lagi Tahun Ini? Ini Penjelasan JAKIM...

TERKINI
March 31, 2023 - 11:08 PM


Tangkap layar yang memaparkan ‘Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444h 20 April 2023’ dipercayai disiarkan menerusi paparan iklan di sebuah masjid telah menimbulkan spekulasi berhubung tarikh Hari Raya Aidilfitri -- yang didakwa kita bakal mengalami 'Raya Terkejut' awal sehari seperti mana berlaku pada tahun lepas!

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan menyarankan semua pihak agar menyemak ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh panel pakar falak.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa cerapan hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang Khamis, 29 Ramadan 1444h bersamaan 20 April 2023.

“Pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun pula dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan SPB Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja,” menurut kenyataan di hantaran Facebook JAKIM hari ini.

Justeru, semua pihak diminta agar menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara ini dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Semalam, pihak pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, tarikh itu adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan dengan meningkatkan amal ibadah.

“Pihak masjid tidak bertanggungjawab menentukan tarikh sebenar bagi 1 Syawal kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja Raja,” katanya.

Justeru, pihak masjid meminta orang ramai untuk tidak beranggapan bahawa tarikh yang dipaparkan adalah suatu ketetapan.

Sumber: AlHijrah Online

 

Destination: