Bos MYDIN Berjanji Teruskan Menu Rahmah - Kenangkan Pemergian Salahuddin Ayub

TERKINI
July 24, 2023 - 05:30 PM


Malam semalam politik Malaysia dikejutkan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Pemergiannya memberi impak yang besar buat rakyat malaysia kerana beliau telah memulakan inisiatif Payung Rahmah di Parlimen bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan dengan set makanan yang berharga RM5 serta jualan barangan murah.

Antara individu yang terkesan dengan pemergian beliau ialah Datuk Wira Haji Dr. Ameer Ali Mydin merupakan pengarah operasi rangkaian pusat pemborong serta peruncit halal yang terbesar di Malaysia, Mydin. Beliau merupakan antara individu awal yang mengaplikasikan menu Rahmah di kebanyakan Mydin seluruh Malaysia.

Dalam sebuah temu ramah dengan Astro Awani, Datuk Ameer menceritakan keprihatinan Allahyarham yang sentiasa ingin membantu rakyat, beliau turut menyifatkan Allahyarham ibarat seorang sahabat buatnya.

"Walaupun dia menteri, dia macam seorang kawan. Kalau kita telefon tanya apa-apa dia mesti akan jawab, tak kisah pada bila-bila masa

"Kalau industri ada masalah, dia mesti akan telefon balik tanya dan ajak berjumpa. Saya berharap selepas ini ada lagi menteri atau perdana menteri yang ada leadership skill macam ini, leadership from the heart" ujar Ameer.

Dengan nada sebak, Datuk Ameer menceritakan personaliti Allahyarham ini amat disenangi dan beliau tidak memaksa dalam membuat apa-apa keputusan sebaliknya beliau hanya mencadangkan dan peniaga-peniaga akan bersetuju dengannya.

Datuk Ameer di hujung temu ramah secara atas talian itu berkata akan sentiasa meneruskan inisiatif Menu Rahmah sehingga ke akhirnya.

Terdahulu, jenama Menu Rahmah berharga RM5 diperkenalkan beliau mendapat sambutan luar biasa bukan saja rakyat, malah segmen peniaga kecil dan francais yang tampil menyahut dan menyokong usaha terbabit.

Negara kehilangan seorang ahli politik yang disegani rakan dan lawan serta lembut dalam tutur kata dan bicara. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.