"Nak Menu Rahmah, Tapi Apa Bantuan Pun Tak Dapat" - Peniaga Kritik Kerajaan Tak Bantu

TERKINI
July 04, 2023 - 04:34 PM


Ramai menyambut baik inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup menerusi Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk golongan miskin tegar pada 27 Januari lalu.

Inisiatif tersebut dikatakan membolehkan rakyat terutama di kawasan bandar menikmati hidangan pada harga serendah RM5 sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan harian. Namun selepas beberapa bulan inisiatif berkenaan dilaksanakan dilihat makin kurang mendapat sambutan ekoran daripada permintaan yang rendah.

Segelintir peniaga di sekitar Lembah Klang dan Subang Jaya tidak lagi menyediakan menu terbabit dan dikatakan merugikan mereka walaupun pada awalnya disambut baik oleh orang ramai.

Mengulas lanjut berhubung isu berkenaan, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Datuk J Suresh berkata, kebanyakan peniaga tidak dapat meneruskan inisiatif berkenaan ekoran daripada harga yang kian meningkat.

Beliau berkata sambutan diterima sangat menggalakkan dengan harga serendah RM5 pelanggan dapat menikmati hidangan lengkap berserta minuman namun lama kelamaan permintaan itu semakin dingin dan harga barang makin lama makin meningkat.

"Seperti kami sendiri, kami ingatkan harga barangan mentah ini akan diberikan subsidi tetapi sebaliknya yang terjadi.

"Harga ayam, minyak masak dan barangan lain naik.Jika dikira semula semua kosnya, tidak berbaloi. Peniaga yang rugi sekali gus menyebabkan mereka tidak meneruskan Menu Rahmah berkenaan" tambah Suresh.

Bagi seorang pekerja swasta, Roziana berkata dia memilih untuk membeli persediaan makanan siap masak di kedai serbaneka.

"Semasa Menu Rahmah diperkenalkan dulu, jujur akui saya teruja kerana dapat nak jimatkan kos harian tetapi apabila menu sama yang dijual setiap hari, saya jadi muak.

"Lauk yang mereka masak sama setiap hari dan makanan yang ditawarkan pula jenis makanan yang sudah dibungkus awal pagi, rasanya dah tak sedap kalau lama" ujarnya.

Menurutnya, lebih baik jika pergi ke kedai serbaneka yang lebih banyak pilihan dengan harga yang sama.

Sementara itu, ibu kepada empat orang anak, Amani Nasuha berpendapat Menu Rahmah yang dilancarkan berbulan dahulu itu tidak sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga sekali gus menyebabkan ia kurang mendapat permintaan sekarang.

"Bagi mereka yang masih bujang mungkin sesuai tetapi tidak untuk yang sudah berkeluarga namun bukan semua orang mampu dan kalau kira-kira balik sebenarnya mahal bagi keluarga B40 tetapi itu hanya pendapat saya sahaja

"Ia sebenarnya usaha yang baik tetapi sejauh mana inisiatif ini mampu memberi manfaat? Kalau tanya saya dengan keadaan sekarang baik turunkan harga barang" luah Amani.

Menurut beliau lagi, dia turut menyedari kebanyakan kedai makan berhampiran kawasan rumahnya sudah tidak menyediakan juadah Menu Rahmah lagi.

Diharapkan kerajaan dapat melakukan sesuatu berkenaan isu terbabit. Buat-lah 'win-win situation' yang memberi manfaat kepada pembeli dan peniaga.

Sumber berita : Majoriti