Bukan Setakat 'Skibidi Toilet' Je Bahaya, Ini 3 Lagi Kartun Barat Tak Elok Untuk Tontonan Si Kecil

TERKINI
August 04, 2023 - 12:52 PM


Sejak akhir-akhir ini, masyarakat Malaysia digemparkan dengan sebuah rancangan animasi barat yang dikatakan tidak sesuai ditonton kanak-kanak.

Ia susulan tindak balas negatif terhadap si kecil yang jelas kelihatan selepas mereka menonton rancangan berkenaan yang dipercayai padat dengan elemen keganasan dan tidak masuk akal.

Terbaharu, tular satu animasi di YouTube bertajuk 'Skibidi Toilet' yang dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan beberapa video di TikTok turut memaparkan perbuatan pelik golongan berkenaan selepas menonton rancangan tersebut.

Susulan itu, masyarakat tampil membangkitkan isu tersebut dengan beberapa lagi rancangan animasi yang dikatakan tidak bersesuaian untuk golongan kanak-kanak.

Berikut merupakan senarai kartun Barat yang perlu dielakkan daripada tontonan si kecil.

1. COCOMELON 

Animasi Cocomelon sememangnya tidak asing dalam kalangan kanak-kanak yang gemar menontonnya di laman YouTube.

Memiliki elemen warna menarik dan lagu yang sering menjadi ikutan, si kecil pasti terdiam dan tertawa jika dipertontonkan dengan rancangan tersebut.

Namun, tanpa sebarang kawalan dan dengan tempoh tontonan yang terlampau lama boleh mengakibatkan kanak-kanak hilang fokus dan terlampau taksub dengan watak rekaan itu.

Perkongsian salah seorang warganet di Facebook berkenaan kartun Cocomelon.

Ini kerana kartun itu dikategorikan sebagai hyper-stimulating yang mana pendedahan visual dan auditori secara berlebihan bertindak seperti dadah (stimulant) kepada otak si kecil.

Memaparkan visual pergerakan dan pertukaran warna dalam masa singkat akan menyebabkan pemikiran mereka tidak berfikir sehingga ke tahap maksimum.

Kesannya, mereka akan mudah terpengaruh selain turut menjejaskan tahap pendengaran dan penglihatan terhadap respons sekeliling.

2. HAPPY THREE FRIENDS 

Menampilkan haiwan sebagai watak utama, setiap episod ditayangkan bermula dengan jalan penceritaan yang comel dan normal sebagai hidupan di tengah hutan.

Namun, di sebalik imej dan lagu yang kelihatan 'catchy' itu, setiap watak yang direka mempunyai rahsia tersembunyi yang mana secara tiba-tiba tanpa disengajakan atau kadang-kadang sengaja membawa kepada banyak watak yang menunjukkan keganasan grafik melampau.

Haiwan tersebut yang dicipta dalam bentuk grafik comel, sebenarnya merupakan sejenis raksasa yang boleh bertukar pada waktu tertentu.

Turut mempertontonkan elemen kekejaman dan keganasan, Happy Three Friends secara jelas tidak sesuai untuk ditonton golongan bawah usia tujuh tahun.

3. RAINBOW FRIENDS 

Terdiri daripada watak kartun berwarna biru, hijau, jingga dan ungu, kesemuanya merupakan raksasa dalam sebuah permainan pengembaraan yang tidak sesuai dipertontonkan kepada kanak-kanak.

Jalan cerita rancangan ini akan memaksa fikiran kanak-kanak untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam sebuah pengembaraan yang nyata tidak sesuai bagi si kecil.

Elemen misteri, pembunuhan dan tembak menembak sesama rakan antara yang sering menjadi keutamaan dalam animasi terbabit.

Ia secara tidak langsung akan mempengaruhi anak-anak untuk berkelakuan kasar dengan meniru aksi mereka.

Justeru, masa senggang kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun sebaiknya dipenuhi dengan aktiviti ataupun pelajaran yang sesuai bagi setiap peringkat umur mereka dengan tontonan kartun di You Tube adalah tidak digalakkan buat mereka.

Kecuaian segelintir ibu bapa yang tidak memantau bahan tontonan di laman digital masa kini juga dilihat boleh membahayakan si kecil yang mungkin akan 'ketagih' dengan video kartun.

Sumber: Majoriti

Destination: