Isteri Tolak Hubungan Kelamin, Lelaki Ni Sanggup Hantuk Hidung Isteri Hingga Parah!

TERKINI
June 06, 2023 - 04:11 PM


"Hanya kerana si isteri enggan melayannya untuk berhubungan intim, dia dikasari suami sehingga cedera parah"!

Itu yang berlaku terhadap seorang wanita berusia 33 tahun apabila suaminya yang juga seorang mekanik berusia 41 tahun bertindak kasar serta sanggup mengugut bunuh.

Hari ini (6 Jun 2023) -- lelaki berkenaan Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mengugut bunuh dan mencederakan isterinya dengan menghantuk kepalanya ke hidung mangsa kerana menolak untuk melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, Rabiatul Adawiyah Abu Hassan, 33, dengan cara menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini, pada 12 Februari lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menakutkan isterinya secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin membantah jaminan bagi tuduhan pertama, namun mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri balai polis berhampiran.

Peguam Ishak Mohd Kari memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sebelum ini bekerja di kedai perabot dan mendapat pekerjaan baharu sebagai mekanik pada 1 Jun lalu dengan gaji RM2,000 sebulan serta perlu menyara empat anak berusia dua hingga 10 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

10 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sumber: Harian Metro

Destination: