Dek Penangan Air Berbuka Khairul Aming, Pasar Raya Ni Siap Sedia 'Rak Khas' Untuk Bahan Resepinya!
TERKINISetiap kali menjelang bulan Ramadan pastinya antara Influencer yang ditunggu-tunggu netizen adalah Khairul Aming yang sememangnya setiap tahun mengeluarkan video masakan menu berbuka yang lazat serta membuatkan ramai terliur iaitu '30 Hari 30 Resepi'.
Selain berkongsi menu masakan lauk-pauk untuk berbuka dan sahur -- tahun ini juga Khairul Aming 'meletop' dan menjadi ikutan ramai apabila turut menyediakan pelbagai idea minuman yang mudah dan menarik untuk dibuat di rumah.
Dek kerana penangan itu, sebuah pasar raya di utara tanah air dilaporkan membuat inisiatif sendiri dengan menyediakan tempat khusus untuk meletakkan setiap barangan atau bahan yang digunakan Khairul Aming untuk membancuh minuman menyelerakan.
Ia bertujuan bagi membantu orang ramai yang sentiasa tercari-cari bahan-bahan tersebut untuk meniru resepi Khairul Aming yang didakwa mereka sentiasa laris dan kehabisan stok.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter bernama @neyrashazeyra melalui satu hantaran di akaun miliknya.
Menurutnya, pasaraya itu meletakkan bahan-bahan yang digunakan Khairul Aming di sebuah rak khas iaitu di Pacific Hypermarket & Departmental Store, Alor Setar, Kedah.
“Ruangan air @khairulaming, acik staff tu cakap,” ciap pengguna itu bersama gambar yang menunjukkan rak berkenaan.
Ruangan ayaq @khairulaming acik staff tu cakap pic.twitter.com/BX7BQWRZOY
— N E Y R A (@neyrashazeyra) March 28, 2023
Tidak lagi perlu susah payah mencari bahan, pengunjung pasar raya itu cuma perlu pergi ke rak tersebut bagi membeli barangan yang diperlukan.
Perkara ini membuktikan betapa besarnya pengaruh selebriti media sosial yang terkenal dengan jualan Sambal Nyet itu.