[VIDEO] "Penangan Luar Biasa Khairul Aming" - 2 Tahun Jual Sambal Nyet, Jana Hasil RM 21.5 Juta!
TERKINIRezeki tidak pernah salah alamat.
Hasil kerja keras sejak menonjolkan diri dan memanfaatkan media sosial, Khairulaming bukan sahaja meraih jutaan peminat -- malah turut membuktikan kemampuannya sebagai usahawan.
Terbaharu, personaliti media sosial itu berkongsi berita gembira bahawa produk Sambal Nyet keluarannya telah mencatatkan hasil jualan luar biasa selepas 2 tahun ia dilancarkan.
"Hari ni genap dua tahun kita menjual Sambal Nyet Berapi dan saya gembira nak kongsi dengan anda yang jumlah keseluruhan jualan kita telah mencecah sebanyak RM21.5 juta bersamaan dengan jualan sebanyak 1.5 juta botol sambal.
"Pada tahun pertama, jualan kita adalah sebanyak RM7.5 juta dan tahun kedua meningkat ke RM14 juta, jadi jumlah keseluruhan dua tahun adalah sebanyak RM21.5 juta," ujarnya.
Kejayaan produk makanan itu bukan sahaja dizahirkan menerusi angka jualan, malah ia turut mendapat pengiktirafan istimewa biarpun baru setahun jagung berada di pasaran.
"Kita juga ada terima dua special award daripada Shopee iaitu Best New Seller dan Best Customer Service," ujarnya menerusi ciapan video di laman Twitter pada Rabu.
Selepas genap dua tahun beroperasi, alhamdulillah hari ini total jualan Sambal Nyet telah mencecah RM 21.5 juta ringgit. Kita juga baru terima award untuk Sambal Nyet bagi kategori Best Customer Service. Let me share with you guys macam mana kita manage operation setiap hari: pic.twitter.com/4ept8saa78
— Khairulaming (@khairulaming) February 15, 2023