[EKSKLUSIF] Sebuah Pertubuhan Pelancongan Malaysia Didakwa Pecah Amanah & Rasuah. Bakal Dibatalkan ROS?

TERKINI
May 02, 2023 - 06:05 PM


Malaysia baru nak menarik nafas lega dengan pembukaan semula sektor pelancongan domestik dan antarabangsa selepas penyebaran wabak Covid-19 yang semakin pulih.

Namun, bak kata pepatah 'ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'!

Imej industri pelancongan negara sedikit tercalar dengan sebuah kes pecah amanah dan rasuah melibatkan sebuah pertubuhan pelacongan tempatan yang seharusnya bertindak membantu Kerajaan dalam memasarkan serta mempromosikan produk pelancongan domestik -- namun didakwa melakukan perkara menyalahi undang-undang! 

Sehinggakan pertubuhan pelancongan berkenaan bakal berdepan tindakan pembatalan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam satu surat bertarikh 1 April 2023.

Menurut sumber yang menghubungi Rileklah -- pertubuhan yang dimaksudkan adalah Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) yang diketuai Presidennya, Uzaidi Udanis.

Dalam satu kenyataan media yang dikongsikan baru-baru ini, Ketua Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) iaitu Dr Izyan Diyana memaklumkan tanpa menyatakan alasan kukuh pihak MTC telah menamatkan keahlian mereka secara tiba-tiba oleh Presidennya, Uzaidi pada 22 Oktober lepas.

Pihak MATA telah membuat aduan secara rasmi kepada ROS pada 6 Januari lalu dan ROS membuat siasatan secara terperinci.

Hasil daripada siasatan itu, ROS mengeluarkan notis Seksyen 31(2) Akta Pertubuhan kepada MTC kerana dengan sengaja melanggar perlembagaan berdaftar di mana penamatan keahlian MATA adalah menyalahi undang-undang serta tidak mengikut peraturan.

Bukan itu sahaja, bahkan MTC turut didakwa melakukan 7 pertuduhan lain seperti yang dilampirkan oleh surat ROS.

Salah satu kesalahan yang paling serius adalah MTC didakwa terlibat dalam pelanggaran pecah amanah di mana cek MTC telah ditandatangani oleh pihak yang tidak diiktiraf. 

Malah, kegiatan jenayah itu juga didakwa berkemungkinan besar melibatkan kerjasama daripada pihak bank tertentu.

Bagaimanapun, kes tersebut kini sedang dalam siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk rekod -- pada hujung tahun lepas MTC baharu sahaja mengadakan Majlis Tahunan Anugerah Emas di Kuching Sarawak serta menerima tajaan bernilai RM400,000 daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak.

SENARAI 7 PERTUDUHAN DIHADAPI MTC 

1. Menukar Pihak Yang Tidak Diiktiraf Untuk Menandatangani Cek MTC

2. Melantik Setiausaha Baru Yang Tidak Sah, Melanggar Perlembagaan Berdaftar

3. Membatalkan Keahlian Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) Secara Tidak Sah

4. Membelanjakan Wang Pertubuhan Melebihi RM100,000 Tanpa Kelulusan Mesyuarat Agung MTC

5. EXCO MTC Berkemungkinan Berdepan Dengan Pertuduhan Pecah Amanah.

6. Menggunakan / Membuat Pertukaran Alamat Berdaftar Dan Tempat Urusan Serta Alamat Surat Menyurat Tanpa Kebenaran ROS

7. Mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Tahun 2022 Tidak Mengikut Perlembagaan

Destination: