Gilerlah! Patut RM10 Je Tapi Dorang 'Mark-Up' Harga Kad TnG Versi Baru Sampai RM120!

TERKINI
August 26, 2022 - 06:00 PM


Sejak diperkenalkan April lalu, ramai nampaknya rakyat negara ini yang berlumba-lumba untuk mendapatkan kad Touch 'n Go (TnG) versi baharu.

Bukan sahaja warnanya yang lebih menarik, kad itu juga memudahkan pengguna untuk membuat tambah nilai bila-bila masa melalui aplikasi TnG Wallet pada telefon mereka.

Diperkenalkan dengan harga asal RM10 untuk sekeping kad, segelintir individu bagaimanapun tergamak mengaut keuntungan apabila menjual semula kad itu dengan harga berlipat kali ganda memandangkan ia sukar diperolehi.

'"Anak s**an mana borong kad TnG lepas tu jual sampai 800 peratus harga asal?" soal seorang pelayar Twitter dikenali sebagai @roku shikii.

Dalam ciapan pada Rabu, dia turut berkongsi tangkap layar penjualan kad itu pada harga RM75 dan RM80 yang dibuat menerusi Shopee.

Seorang lagi netizen turut berkongsi tangkap layar Instagram Story penjual yang menawarkan kad tersebut pada harga RM120 sekeping.

"Guys, harga RM120 sekeping. Bukan suka-suka naik tau. Sebab memang supplier increase the price. Expected to arrive (ETA) mid August.

"Yang betul-betul interested and full payment je okay. Sesuai untuk kita-kita yang malas nak turn Petron pergi top up. Tak kena hujan tak kena panas," tulis penjual itu lagi.

Rata-rata netizen di Twitter turut meluahkan rasa berang atas tindakan penjual-penjual tersebut dan berharap
mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Kata sebilangan netizen, mereka lebih rela menggunakan kad TnG lama biarpun terpaksa keluar ke stesen minyak untuk membuat tambah nilai daripada membazirkan wang membelinya dengan harga tidak masuk akal.

"Korang relaks je jangan gelabah. Situasi ni sama macam beli pelitup muka dulu. Akhirnya pelitup muka dah berlambak jual.

"Selagi ada orang membeli, selagi tu la mereka jual dengan harga lintah darat tahap dewa ni. Boikot je. Selama ni pun kita turun top up manual."

Sebilangan netizen berkata mereka lebih rela membuat tambah nilai manual di steen minyak dan enggan
membeli kad itu dengan harga tidak masuk akal. 

"Patutlah selalu tak ada stock. Rupanya ada orang jual semula.

"Kalau harga macam ni baik aku pakai duit tu untuk top up je kad TnG lama aku" tulis beberapa netizen.

Dalam pada itu, pengendali Twitter rasmi @MyTouchnGo turut menasihati orang ramai agar membuat pembelian kad tersebut melalui Wallet atau TnG Hub yang terletak di NU Sentral, Kuala Lumpur.

"Kami menasihati anda supaya membuat pembelian kad melalui Wallet atau di TnG HUB NU Sentral untuk mengelakkan dari pembelian kad pada harga yang tinggi," tulis pengendali Twitter itu menerusi satu ciapan.


Sumber: Mstar

Destination: