Haiwan Sebenar Diganti Dengan Hologram Di Sarkas Roncalli Jerman

TERKINI
September 04, 2019 - 05:22 PM


Pertunjukan sarkas kebiasaannya akan mempunyai pelbagai persembahan menarik, seperti aksi akrobatik yang mendebarkan mahupun kemunculan badut-badut yang menghiburkan para pengunjung. Selain itu, antara tarikan di sarkas adalah pertunjukan haiwan.

Masih ingat lagi, waktu kecil dulu, sentiasa teruja bila tahu Royal London Circus ada di Kuala Lumpur, cuma waktu itu, tak terasa nak pergi sangat, lagipun tiket mahal.

Disebalik keseronokan melihat aksi haiwan yang menghiburkan, mereka sebenarnya tersiksa. Hal ini semakin membuka mata orang ramai dengan adanya pelbagai bentuk pendedahan penyiksaan – penyiksaan yang perlu dihadapi oleh haiwan – haiwan persembahan ini.

Sesuai dengan peredaran zaman, penonton dan orang ramai kini mula menolak, memboikot serta mengelakkan sokongan terhadap apa sahaja aktiviti yang melibatkan haiwan seperti aktiviti menunggang gajah, menunggang kuda dan sebagainya. Di UK, pengharaman penggunaan haiwan telah dilaksanakan dan menjelang 2020, kesemua persembahan menggunakan haiwan adalah salah disisi undang-undang.

Sedar akan perkara ini dan tidak mahu mengeksploitasi haiwan dengan cara yang salah, sebuah sarkas di Jerman iaitu Sarkas Roncalli telah menghapuskan tradisi penggunaan haiwan dalam persembahan mereka.

Lebih menarik, persembahan mereka menggunakan teknologi hologram bagi menjana imej haiwan untuk dipersembahkan kepada orang ramai.

Walaupun sudah mula beroperasi sejak 1976, Sarkas Roncalli secara komited melakukan perubahan serta ingin membanteras kekejaman haiwan dalam industri tersebut.

Tindakan penggunaan hologram bagi menggantikan haiwan sebenar ini mendapat pujian dan sokongan daripada ramai pihak termasuklah para selebriti terkenal.

Photo Credit : Circus Roncalli