Haqiem Stopa Mengaku Tidak Bersalah, Didakwa Simpan Video 3gp Bekas Kekasih!

TERKINI
December 14, 2022 - 03:53 PM


Sekali lagi nama ikon permotoran Haqiem Stopa menjadi sebutan netizen. Terkini, dia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas teman wanitanya dalam dua telefon bimbit miliknya lima hari lalu.

Bagaimanapun Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyimpan gambar dan video lucah seorang wanita berusia 21 tahun di dalam simpanan galeri telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7plus miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Rawang di sini pukul 4.30 petang pada 9 Disember lalu yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jumlah jaminan RM4,000.

Bagaimanapun Haqiem Stopa yang diwakili peguam Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung ibu dan bapa yang uzur.

“Tertuduh bekerja sebagai pencipta kandungan (content creator) mohon jumlah jaminan yang rendah,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Majistret Nur Hafizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Destination: