Harap semua Bersabar, Agong Tangguh Kemuka Calon PM, Guna Kerajaan Caretaker Sementara

TERKINI
November 21, 2022 - 04:37 PM


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat bersabar berikutan kemelut politik yang melanda ketika ini.

Titah Seri Paduka Baginda, bagaimanapun, Kerajaan Caretaker masih berjalan seperti biasa.

“Harap semua bersabar dan bertenang. Saya tidak akan keluarkan apa-apa kenyataan.

“Semua pihak boleh rujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara,” titah baginda.

Baginda berkata demikian ketika berkenan bertemu dan menyampaikan bungkusan makanan kepada pengamal media yang berkumpul di hadapan pintu 2 Istana Negara di sini hari ini.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan berkata, Seri Paduka berkenan melanjutkan proses bagi ketua dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pencalonan Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang esok.

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah perkenan proses bagi ketua dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan-permohonan daripada ketua dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

“Sehubungan dengan itu Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister” berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government),” katanya.

Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.

“Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya. – KOSMO! ONLINE