Jaga-Jaga Berenang Di Pantai Cenang, Raya Nanti!
TERKINIIni peringatan kepada korang yang merancang untuk bercuti ke Pantai Cenang, Langkawi pada musim Hari Raya nanti.
Kalau korang ingin mandi-manda di pantai tersebut adalah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan kehadiran obor-obor yang boleh mendatangkan luka sekiranya disengat.
Ini kerana memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki warga Jerman cedera di bahagian tangan kanan, dada, belakang badan dan muka selepas disengat obor-obor ketika mandi di Pantai Cenang, semalam.
Dalam kejadian 3.10 petang itu, mangsa, Robin Scusler, 24, sedang mandi di kawasan pantai berkenaan dan tiba-tiba terasa pedih menyebabkan dia mendapatkan bantuan di menara penyelamat pantai pada 3.12 petang.
2 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, kemudian membantu menyembur cuka di bahagian luka untuk mengelakkan kesan luka itu merebak selain menenangkan mangsa dari menahan sakit.
Disebabkan kejadian itu, pihak berkuasa menasihatkan pengunjung supaya mandi hanya dalam kawasan renang atau 'swimming area' yang disediakan supaya lebih selamat dari ancaman obor-obor atau ikan pari.
Papan tanda turut diletakkan di sekitar kawasan pantai untuk memastikan pengunjung mematuhi arahan dan tidak mandi di luar kawasan renang yang disediakan.
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan, kawasan Pantai Cenang yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong dijangka menerima lebih ramai kedatangan pengunjung untuk bercuti bersama keluarga.
Untuk mengawasi keselamatan pengunjung di kawasan pantai, bilangan anggota untuk melakukan rondaan akan ditambah dan pemantauan lebih kerap bakal dijalankan.
Setakat ini, setiap menara penyelamat pantai mempunyai enam anggota dan akan ditambah dua orang lagi untuk menjalankan rondaan di kawasan Pantai Cenang, Pantai Tengah, Pulau Payar dan berhampiran Hotel Pelangi di Cenang.