Jalan-Jalan Yogyakarta Kini Lebih Mudah Dengan 'GrabAndong'!
TERKINIYogyakarta adalah salah satu destinasi percutian kegemaran rakyat Malaysia jika melancong ke Indonesia.
Selain terkenal dengan Candi Borobudur dan Pantai Malioboro, bandar yang lebih mudah disebut 'Jogja' itu juga popular dengan kereta tradisional kudanya yang disebut 'Andong'.
Bagi memudahkan para pelancong menaiki perkhidmatan tersebut untuk mengunjungi kawasan Malioboro di pusat bandarnya, 'GrabAndong' kini dilancarkan menerusi aplikasi Grab!
Sebelum ini, pelancong hanya boleh mendapatkan kereta tradisional masyarakat Jogja yang ditarik oleh kuda itu di sepanjang jeti di bandar berkenaan dengan bayaran 100,000 Rupiah.
Namun, disebabkan rata-rata pelancong kini menggunakan aplikasi teknologi digital menerusi telefon pintar mereka, sudah tiba masanya untuk perkhidmatan Andong ini juga dimodenkan.
Dengan adanya GrabAndong yang boleh dikenalpasti melalui penggunaan plat nombor berwarna kuning seperti ini, diharap bakal memudahkan lagi pergerakan pelancong untuk mengunjungi destinasi-destinasi ikonik Jogja, sekaligus merancakkan aktiviti pelancongan di kota budaya Indonesia itu.
Jangan risau tentang kesihatan kuda-kuda GrabAndong ini, kerana semua haiwan di bawah perkhidmatan tersebut dipantau rapi oleh doktor dari Fakulti Kedoktoran Haiwan Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta.
Setiap hari, kuda yang berkhidmat akan mendapat rawatan secara intensif bermula dengan membersihkan kuda, merawat tapak kakinya bahkan memandikannya.
Kuda di GrabAndong juga hanya dibenarkan untuk berjalan maksimum sekitar 6-7 jam sahaja dan sentiasa diberi minum air ketika mereka berehat daripada membawa penumpang.
Kuda-kuda ini juga akan dipastikan mendapat nutrisi lengkap dalam pengambilan makanan setiap hari, selain sentiasa dipantau keadaan kesihatannya. Malah kandang haiwan itu juga dilengkapi alas kayu gergaji yang sifatnya hangat supaya kuda mendapat tidur yang nyenyak.
Untuk rekod, sebelum ini Jakarta telah memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan awamnya iaitu 'GrabBajaj', Medan dengan 'GrabBetor' manakala Gorontalo mempunyai 'GrabBentor'.
Sumber: Jakarta Post