GoJek Bakal Beroperasi Di Malaysia

TERKINI
August 21, 2019 - 07:20 PM


Jika berkunjung ke bandar-bandar utama di Indonesia, kita akan selalu dapat melihat perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai GoJek di jalan-jalan raya republik tersebut.

Tidak lama lagi, Malaysia juga bakal mengikut jejak langkah sama apabila pada Rabu (21 Ogos) Kabinet pada asasnya telah bersetuju dan memberi lampu hijau untuk melaksanakan perkhidmatan GoJek di negara ini.

Dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi, 2 buah kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengangkutan diminta untuk bekerjasama dan membincangkan undang-undang yang perlu dipinda atau diwujudkan bagi membolehkan perkhidmatan teksi motosikal itu beroperasi secara sah di Malaysia.

Idea perkhidmatan GoJek dibangkitkan susulan satu mesyuarat antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengasas GoJek, Nadiem Makarim bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

GoJek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.

Sumber: Mstar