Kecewa, Tiket Konsert Coldplay Habis Dan Dijual Balik Dengan Harga Sampai RM40K

TERKINI
May 17, 2023 - 05:12 PM


Bahang konsert band yang memenangi anugerah Grammy, Coldplay yang direncana berlangsung di Malaysia pada 22 November 2023 ini semakin hangat terasa. 

Penjualan tiket konsert walaubagaimanapun memberi kekecewaan kepada ramai peminat Coldplay. 

Tiket menyaksikan konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan 'licin' dalam tempoh tiga jam selepas dibuka kepada orang awam sejak 10 pagi ini.

Pengumuman dilakukan menerusi laman Instagram (IG), Live Nation Malaysia, sebenar tadi.

Sejak awal pagi tadi, peminat menggunakan pelbagai strategi untuk mendapatkan tiket konsert Coldplay termasuk menggunakan pelbagai peranti dan berpakat secara berkumpulan semata-mata mahu menyaksikan persembahan band pujaan di depan mata.

Rata-rata peminat kumpulan ini meluahkan rasa hampa gagal memiliki tiket konsert Coldplay di Kuala Lumpur. Lebih parah lagi apabila ramai 'ulat tiket' mengambil kesempatan dengan menjual semula tiket Konsert dengan harga yang tidak masuk akal. 

Antara luahan-luahan peminat Coldplay yang kecewa.

"Buang masa 8 jam tanpa apa-apa. Tolonglah hentikan penjual semula tiket. Saya beratur dari semalam, tetapi tiada rezeki.

"'Sold out' semua. Terima kasih 'scammers' dan 'scalpers'! Aku harap, kamu semua mereput dalam neraka," tulis satu pengguna Twitter.

"Hari ini tiket pra-jualan di Kuala Lumpur: Laman web 'crashed', tiket habis dijual, 'scalpers' jual semula dengan harga dua kali ganda, peminat sejati tak dapat peluang untuk lawan 'reseller' (penjual semula tiket).

Tiket konsert Coldplay dijual semula hingga RM43,000

Tinjauan di media sosial mendapati, ada yang bertindak menjual tiket konsert Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur November nanti sehingga mencecah RM43,200.

Difahamkan, tiket tersebut bagi tempat duduk di kategori 1 di mana harga asal yang dijual di laman web rasmi Go Live-Asia ialah hanya RM1,288.

Band yang terkenal dengan rangkaian lagu popular Paradise, The Scientist, Fix You dan Yellow, My Universe, Hymn for the Weekend, Viva La Vida, kini sedang berkunjung ke beberapa negara Sepanyol, UK, Itali, Denmark, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sehingga Oktober sebelum meneruskan siri jelajah di Asia dan Australia.

Harga tiket dijual antara RM228 ke RM3,088, namun terdapat juga harga lain iaitu RM2,108 sehingga RM1,258.

Pemegang tiket ini akan diberikan pengalaman lawatan ke belakang pentas melalui pintu masuk khusus, diberikan barang eksklusif dan hadiah direka khas.