Kecoh Jemaah Haji Malaysia Terkandas, Ini Yang Perlu Anda Ketahui Tentang Visa Furada!
TERKINIBeberapa hari ini kecoh apabila 26 jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Jeddah hanya gara-gara Visa Furada.
Pelbagai reaksi diberikan orang ramai berhubung kes ini. Ada yang menyalahkan agensi pengendali haji, ada yang meminta supaya jemaah haji bersabar dan muhasabah diri, malah ada juga yang menyarankan agar pihak Kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Tapi, mesti ramai juga antara kita yang tertanya-tanya atau pertama kali mendengar tentang Visa Furada ini, kan?
Jom ketahui apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Visa Furada ini serta tips jika anda ingin atau telah mendapat visa jenis sebegini.
APAKAH VISA FURADA?
Visa Furada dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi dan lazimnya hanya kenamaan dan pihak tertentu memperolehinya. Selalunya visa diproses beberapa hari sebelum tarikh dijadualkan berangkat.
KENAPA BAKAL JEMAAH MEMILIH VISA FURADA?
Berdasarkan pengalaman, sebahagian besar jemaah memilih visa Furada kerana enggan menunggu lama untuk mengerjakan ibadat haji setelah lewat atau tidak mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji untuk menunaikan haji.
Keadaan ini menyebabkan giliran mereka sangat lewat dan kemungkinan sudah terlalu uzur atau tiada lagi.
Selain itu, ada juga yang memilih visa Furada kerana berkemampuan mahu menunaikan haji lebih daripada sekali dan ada segelintir pula mahu membawa anak remaja.
Keadaan itu semua menjadikan mereka cenderung memilih visa Furada bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.
VISA FURADA HANYA UNTUK GOLONGAN BERADA?
Tidak juga kerana ada antara jemaah bekerja makan gaji tetapi memberi keutamaan dan mahu menyempurnakan ibadat haji ketika masih kuat serta bertenaga.
Tidak dinafikan visa Furada dijual pada harga yang tinggi iaitu di antara RM12,000 dan RM16,000.
Itu tidak termasuk harga pakej haji dan total kos berjumlah dari RM35,000 ke atas manakala tempoh di Tanah Suci ialah satu bulan, termasuk perjalanan pergi balik.
APAKAH PERSEDIAAN JIKA ANDA MENDAPAT VISA HAJI FURADA?
1. Buat sedikit kajian mengenai syarikat pengendali haji yang menawarkan visa Furada.
2. Bertanyalah secara khusus mengenai wang yang diserahkan dan pastikan simpan segala invois dan resit pembayaran.
3. Perbanyak doa dan solat hajat.
4. Bersedia dengan segala keperluan untuk ke Tanah Suci seminggu sebelum berangkat.
5. Berfikir positif dan rasional.
6. Membawa wang secukupunya atau buka akaun Rajhi atau mengemas kini perbankan anda kepada pengeluaran antarabangsa kerana jemaah haji visa Furada tidak boleh mengeluarkan wang di kaunter Tabung Haji.
7. Bawa bekalan ubat-ubatan secukupnya kerana jemaah haji visa Furada tidak boleh mendapat perkhidmatan perubatan di klinik kesihatan Tabung Haji.
8. Ambil insurans kesihatan/pelancongan.
***Tulisan daripada Raihanah Abdullah, Pembimbing Umrah & Jemaah Haji Wanita
Sumber: Mstar