Kembara Seribu Selekoh - Misi Yusrizal Seorang OKU Menawan Thailand Dengan Motor Kapcai.

TERKINI
November 14, 2018 - 06:34 PM


Pasti ramai kaki motor bahawa perjalanan menunggang motor jarak jauh adalah sangat mencabar. Tidak kiralah motor berkuasa besar mahupun yang kecil, perjalanan beratus kilometer pun menguji daya tahan mana-mana penunggang. Sama seperti Mohd. Yusrizal atau lebih mesra dikenali sebagai Sony. Tetapi permulaan kisah anak kelahiran Taiping, Perak ini amat menyayat hati.

Pada tahun 1999 Sony terlibat dalam sebuah kemalangan ngeri di Kuala Lumpur. Terputus tangan kirinya dari paras siku dan sendi yang lainnya terkeluar dari soket. Selama 6 bulan di hospital, seminggu di HKL dan kemudian dipindahkan ke Hospital Besar Ipoh atas permintaan keluarga. Makan minumnya di jaga oleh ibu dan jururawat di hospital sepanjang proses pemulihan. Fizikalnya kini cacat seumur hidup tetapi yang lebih sedih dia sudah patah semangat, mengalami kemurungan dan hampir gila. Sampai tahap brudder ni dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan untuk rawatan Psikiatri.

Yusrizal bersama keluarga

Kini berusia 44 tahun dan telah bekeluarga, kalau korang berborak dengan dia pastinya korang tak terpikir kesemua cerita diatas sebenarnya berlaku kecuali bila melihat lengan kirinya. Selain dari itu brudder ni amat ceria dan minatnya yang mendalam dalam hobinya menjelajah dengan motosikal. Kali pertama dia tunggang motor kapcai sampai ke Songla secara solo! Terus bila member-member tahu, mereka semua tabik spring dan viralkan kisah dia. Nak dijadikan cerita dari situ juga tercetus idea dan keyakinan Sony untuk menjelajah ke Thailand. Dengan jarak keseluruhan 3,740km dengan lebih 1,800 jumlah selekoh keseluruhan dia akan bertolak dari Kuala Lumpur pada 13 Disember. sampai ke utara Thai, Mae Hong Son dan kembali ke Kuala Lumpur pada 27 Disember.

Di Phatthalung Bulan Lepas

Pengembaraan yang mengambil masa keseluruhan 2 minggu dengan pasukan sokongan seramai 3 orang ini secara rasmi misi dinamakan "Kembara 1000 Selekoh". Membawa misi bahawa kekurangan upaya bukan penghalang dan sekali gus bakal mencipta sejarah di Malaysia Book Of Records 'The fastest single handed rider to complete 1000 corner route, Thailand' dengan syarat mengharungi 1000 selekoh dengan tempoh kurang dari 5 hari.

Kini Sony dan 3 rakannya sibuk membuat persediaan dari aspek jentera, teknikal, logistik, dan media. Dia masih mencari sumbangan dalam apa jua bentuk untuk melancarkan misi ini. Semangat kental dan dedikasi anak Malaysia ini mengingatkan kita bahawa apa jua kesulitan dan musibah bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Jika anda berminat untuk membuat sumbangan bolehlah berhubung dengan pengurus projek Kembara 1000 Selekoh, Encik Muhamad Azni melalui e-mel [email protected]

Kami di Rileklah mendoakan kejayaan pengembaraan ini dan menjadikan inspirasi kepada korang semua.