Kipas Siling Sekolah Terlampau Uzur! Pelajar Jadi Mangsa Hingga Cedera Teruk

TERKINI
October 19, 2022 - 02:13 PM


Amat menyedihkan apabila sebuah sekolah kebangsaan di daerah Selama, Perak lambat mengambil tindakan terhadap seorang murid perempuan yang didapati cedera di bahagian dada dan patah jari tangan kiri selepas dihempap kipas siling kelasnya yang uzur dan berkarat.

Menurut bapa mangsa yang dikenali sebagai Mohd, 32 tahun -- disebabkan meja anaknya berada betul-betul di bawah kipas tersebut, maka kecederaan dialaminya agak serius berbanding rakannya lain.

“Sebaik dibawa ke hospital doktor memaklumkan tulang jari kiri tangan patah dan perlu disimen,” ujarnya.

Beliau dan isteri merasa agak terkilan apabila pihak sekolah tidak menyegerakan rawatan anaknya dan mangsa lain, sebaliknya menunggu ibu bapa hadir membawa sendiri anak ke hospital.

“Ketika isteri tiba di sekolah, keadaan tangan anak ketika itu sudah bertukar warna.”

“Ini kes kecemasan tetapi pengurusan sekolah memberi alasan mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pendidikan.”

“Saya dan isteri menerima takdir anak ditimpa kemalangan kerana ia bukanlah disengajakan, cuma kami terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang melambatkan proses rawatan ke atas anak saya dan mangsa lain.”

Kesan dari itu, mangsa diberikan cuti sakit selama 14 hari dan kini masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Kejadian yang berlaku jam 10 pagi itu turut melibatkan tiga lagi murid perempuan dan masing-masing berusia lapan tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Sumber: Berita Harian

Destination: