Lelaki 'Skodeng' Wanita Selama 8 Tahun Individu Pertama Didakwa di Bawah Undang-Undang 'Anti-Stalking'

TERKINI
August 09, 2023 - 04:54 PM


Pada pertengahan Julai lalu, seorang jurugambar wanita mendedahkan tekanan yang dialaminya setelah diganggu dan diikuti oleh seorang lelaki selama bertahun-tahun.

Menurutnya, gangguan itu sudah berlaku sejak 2016 lagi dan beliau telah medokumentasikan gangguan yang terjadi kepadanya di akaun Twitter miliknya sebagai bukti perkara ini bukanlah satu gurauan.

Terbaharu, The Star melaporkan seorang lelaki berusia 37 tahun terbabit akan menjadi individu pertama didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang baharu atas kesalahan menghendap atau stalking.

Lelaki itu didakwa menghendap dan mengganggu secara seksual seorang jurugambar wanita popular selama bertahun-tahun, menghantar gambar lucah dirinya dan juga mengikutinya ke United Kingdom.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang baru dibuat.

“Dia akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam pagi esok (10 Ogos) untuk menghadapi pertuduhan,” katanya.

Di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang baharu itu, mengintai atau stalking ditakrifkan sebagai tindakan gangguan berulang yang bertujuan atau mungkin mungkin menyebabkan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan sesiapa. Suspek boleh dihukum penjara 3 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, memetik perkongsian jurugambar tersebut di media sosialnya, beliau meminta individu-individu yang mengalami nasib yang serupa untuk memfailkan laporan untuk diambil tindakan dan terus kekal cekal kuat.

“Walaupun masih belum didapati bersalah, tetapi ini langkah yang baik, jadi kita kekal positif InshaAllah,” ujar beliau.

Sumber berita : The Star

Destination: