"Lepas Satu, Satu" - Ebit Lew Didakwa Layari Laman Web Tak Senonoh

TERKINI
June 22, 2023 - 11:02 AM


Belum reda dengan isu pendakwah sensasi, Ebit Lew membantu gadis punk yang dijumpainya di kota Jakarta, semalam timbul lagi kes yang dikatakan beliau melayari laman sesawang lucah pada telefon bimbitnya.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintendan Latifah Abdul Aziz berkata laman sesawang disyaki berunsur lucah diperoleh daripada aplikasi Google dan hasil analisis tersebut telah dimasukkan dalam cakera video digital boleh rekod (DVD-R) untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Hasil analisis mendapati terkandung sejarah melayari laman sesawang disyaki berunsur lucah daripada aplikasi Google dan saya pohon pegawai penyiasat rujuk DVD-R yang saya masukkan hasil analisis tersebut" kata beliau sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret semalam.

Latifah menambah antara laman sesawang yang turut dilayari termasuk Wikipedia berkaitan 'gangguan seksual', 'undang-undang gangguan seksual di Malaysia', 'gurau lucah berisiko disumbat penjara' dan 'Rang Undang-Undang kesalahan-kesalahan seksual'.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani semalam dijalankan tanpa kehadiran tertuduh yang mendapat kebenaran mahkamah.

Peguam yang mewakili Ebit Lew iaitu Ram Singh memaklumkan bahawa beliau sedang menunaikan ibadah haji di Mekah.

Latifah memberitahu satu lagi telefon yang dianalisisnya mengandungi sebanyak 219 tangkap layar perbualan daripada Whatsapp bermula pada 4 Mac 2021.

Beliau berkata pada tarikh 17 Mac tahun yang sama, satu lagi tangkap layar menunjukkan cubaan semula yang cuba dihantar daripada telefon bimbit penerima kepada pengirim namun mesej berkenaan tidak disampaikan.

Terdahulu, Ebit Lew, 37, didakwa pernah menghantar gambar kemaluan lelaki kepada pengadu melalui Whatsapp berserta satu mesej suara yang berbunyi 'tunjuk kaki sikit, tunjuk kaki sikit'.

Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui Whatsapp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Perbicaraan disambung semula hari ini.

Sumber berita : Berita Harian