Malaysia Mula Dilanda Jerebu Kembali, Elak Lakukan Aktiviti Luar!

TERKINI
August 01, 2019 - 05:59 PM


Dalam tempoh 5 hari bermula hari ini, orang ramai di pantai barat Semenanjung dan Sarawak dinasihatkan untuk mengurangkan sebarang aktiviti luar kerana masalah jerebu akibat kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia.

Menurut Harian Metro, kebakaran hutan di negara jiran itu memberi kesan kepada tahap kualiti udara di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya, manakala di Sarawak meliputi Kuching, Serian dan Samarahan.

Apatah lagi, bulan ini diramalkan cuaca kering dan jerebu dijangka berterusan lebih lama hingga lima hari.

Setakat ini, 30 hingga 40 titik panas dikesan di Sumatera mengakibatkan jerebu di negara kita berada pada tahap sederhana dan akan terus dipantau jika terdapat lebih daripada 100 titik panas.

Kebakaran hutan di Indonesia dikesan di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Menurut data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 12 tengah hari tadi, dua kawasan berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu Rompin mencatatkan IPU 104 manakala kawasan di Johan Setia, Klang mencatatkan IPU 107.

Sementara, 62 kawasan lain dilanda jerebu tahap sederhana.

P/S: Kurangkan berjalan-jalan di luar rumah, elak pembakaran terbuka & banyakkan minum air kosong ya korang!