Malaysia Perkenal Pengiktirafan Premis Penginapan Pelancongan Mesra Muslim

TERKINI
July 25, 2019 - 11:13 AM


Malaysia menjadi negara pertama memperkenalkan Pengiktirafan Premis Penginapan Pelancongan Mesra Muslim dalam usaha menarik pelancong Muslim dunia yang dijangka mencecah 230 juta menjelang 2026.

Pengiktirafan yang dilaksanakan melalui Islamic Tourism Centre, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya adalah penting bagi menghilangkan keraguan umat Islam untuk menginap dan melaksanakan ibadat di premis penginapan ketika mereka bercuti.

Pengiktarafan tersebut terbahagi kepada 3 kategori iaitu platinum, emas dan perak.

Bagi platinum, tempat penginapan perlu memenuhi 7 syarat pengiktirafan mesra Muslim; emas perlu memenuhi 5 syarat pengiktirafan; manakala perak 4 syarat.


Antara syarat pengiktirafan ialah hotel perlu menyediakan maklumat berkenaan lokasi masjid, tempat tumpuan pelancongan mesra Muslim, menyediakan makanan serta minuman halal di restoran, menyediakan arah kiblat yang jelas serta sejadah dan naskah Al-Quran dalam bilik penginapan.



Syarat pengiktirafan lain ialah pengasingan kemudahan kolam renang dan gimnasium untuk wanita dan lelaki atau menyediakan jadual waktu khas untuk wanita Islam menggunakan kemudahan itu.

Setakat ini di Malaysia telah ada 12 hotel sudah mendapat pengiktirafan dengan 7 mendapat kategori platinum, 4 emas dan 1 perak.


Buat masa ini permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan itu boleh dibuat secara percuma.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi permintaan daripada pelancong Asia Barat mengenai tempat penginapan mesra Muslim adalah tinggi.

Malah hotel di negara bukan Islam juga cuba mendapatkan pengiktirafan mesra Muslim seumpama itu bagi menarik lebih ramai pelancong.

Sumber: Bernama