"Marah Sebab Bising, Sampai Nak Hayun Helmet" - Punca Pergaduhan 'Family Day'

TERKINI
February 14, 2023 - 05:17 PM


Insiden pergaduhan antara seorang penghantar makanan bersama sekumpulan individu yang tular di media sosial adalah dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati akibat bunyi bising muzik.

Pendedahan tersebut dibuat oleh seorang individu di laman sosial yang memaklumkan sebelum berlaku insiden tersebut, dia bersama ahli keluarganya telah mengadakan satu majlis hari keluarga di sebuah resort di Batu Pahat, Johor.

Jelas individu tersebut, keluarganya telah menempah keseluruhan kawasan resort terbabit dan pihak pengurusan juga mengesahkan tempahan yang dibuat selama tiga hari dua malam.

Tambahnya, pihak pengurusan tempat tersebut turut memaklumkan bahawa orang ‘luar’ tidak dibenarkan masuk.

“Pada hari kedua kami ada buat sukaneka, muzik pula dipasang agak kuat. Ketika itu ada seorang mak cik datang bersama anaknya mandi kolam, tetapi kami biarkan.

“Namun selepas itu, wanita tersebut seolah-olah tidak berpuas hati dengan bunyi bising tersebut sebelum memarahi kami supaya memperlahankan bunyi muzik. Padahal kami telah sewa ‘full’ tempat tersebut,” kata individu tersebut.

Tambahnya, wanita dan anaknya kemudian meninggalkan tempat tersebut dalam keadaan marah.

“Selang 10 minit wanita tersebut datang bersama seorang rider dan terus membuat kacau di majlis kami seperti gangster. Rider tersebut turut bertanya siapa yang kacau isteri dia.

“Dalam situasi agak tegang itu, rider tersebut cuba menghayunkan topi keledar ke arah ayah saya, namun sempat ayah tahan perbuatan lelaki terbabit,” ujarnya

Jelas individu tersebut, video yang viral itu sudah di sunting semula kerana video terbabit asalnya panjang dan babak rider cuba menghayun topi keledar ke arah ayahnya juga telah dipotong.

Destination: