Mayat Mangsa Ke-9 Tragedi Kepala Air Ditemui, Seorang Masih Hilang

TERKINI
July 07, 2023 - 05:24 PM


Selepas dua hari tiada sebarang petunjuk baharu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar, Air Putih, mayat mangsa kesembilan berjaya ditemukan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat dipercayai lelaki itu ditemui pada pukul 9.20 pagi yang terdampar di beting pasir oleh pasukan penyelamat pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Selepas dua jam usaha membawa keluar mayat mangsa berjaya dilakukan. Bagaimanapun, kita belum pasti identiti dan jantina sebenar mangsa, namun percaya mayat itu mungkin lelaki" ucapnya di Balai Air Putih.

Beliau menambah, mayat mangsa akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala terengganu untuk tindakan lanjut.

Muhammad Fikri Saliman, 24, merupakan tunang Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, yang dijumpai Selasa lalu merupakan salah satu daripada dua mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar yang masih hilang.

Media semalam melaporkan abang Muhammad Fikri, Shahrizal, 40, melaungkan azan di lokasi kejadian sebagai ikhtiar memudahkan proses mencari lagi baki dua mangsa.

Terdahulu, sembilan sekeluarga dihanyutkan kepala air sewaktu berkhemah di kawasan air terjun tersebut pada Sabtu lalu.

Setakat ini lapan mayat mangsa iaitu Karim Abdullah, 39, dan Azizah Eiyi, 40, serta enam anak mereka telah ditemui dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang pada Selasa dan Rabu.

Seorang lagi mangsa yang hilang ialah Putri Nor Fatin, 14, yang merupakan anak ketiga pasangan Karim dan Azizah.

Sumber berita : Kosmo!