Menjelang 2022, Lapangan Terbang Di Seluruh UK Bakal Perkenal Pengimbas 3D!

TERKINI
August 27, 2019 - 03:01 PM


Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, jika anda menjadi penumpang di lapangan terbang utama di seluruh United Kingdom (UK), anda bakal merasai pengalaman perjalanan udara yang lebih mudah, selamat dan kurang stress.

Malah, anda juga berkemungkinan boleh membawa naik cecair melebihi 100 mililiter, sebotol air atau peralatan elektrik seperti komputer riba ke dalam bagasi kabin anda.

Kesemua perkara itu boleh anda rasai menjelang 1 Disember 2022 apabila kesemua lapangan terbang utama di UK dilengkapi dengan alat pengimbas 3D untuk bagasi tangan.

Teknologi 3D baharu itu, yang menggunakan sistem pengimejan paling maju ketika ini, akan menjadikan orang ramai lebih selamat menerusi penyediaan petugas keselamatan dengan imej bagasi kabin yang lebih baik.

Langkah itu juga bakal mengurangkan masalah kepada berjuta-juta penumpang dan membolehkan mereka menaiki pesawat dengan barangan yang ketika ini dilarang.



Ia bermakna dalam tempoh 3 tahun lagi, had cecair 100 mililiter mungkin tidak lagi terpakai dan para penumpang boleh membawa cecair terbabit seperti sebotol air ketika melalui pemeriksaan keselamatan.

Buat masa sekarang, peralatan teknologi 3D baharu itu sedang giat diuji di lapangan terbang tersibuk Britain iaitu London Heathrow.

Sumber: Bernama