Mukaab, Binaan Ala "Kaabah Baharu" Ikonik Riyadh Siap Menjelang 2030

TERKINI
February 20, 2023 - 03:24 PM


Menjelang tahun 2030 -- Riyadh bakal muncul sebagai "pusat bandar raya moden terbesar" di dunia!

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammad bin Salman pada Khamis lepas telah melancarkan Syarikat Pembangunan Murabba Baharu (NMDC) untuk membangunkan projek New Murabba dan lebih menarik apabila mercu tanda ikonik yang dinamakan "Mukaab" bakal menampilkan reka bentuk seakan binaan Kaabah moden.

Reka bentuk "Mukaab" dengan kemudahan pertama seumpamanya, bakal menjadi antara struktur binaan terbesar di dunia dengan ketinggian 400m, lebar 400m dan panjang 400m.

"Mukaab" akan memastikan penggunaan sepenuhnya setiap ruang untuk menampung teknologi inovatif terkini yang diperlukan.

Projek New Murabba ini dibina berdasarkan konsep kemampanan dengan menonjolkan kawasan hijau, laluan berjalan kaki dan berbasikal bertujuan meningkatkan kualiti hidup menerusi promosi gaya hidup sihat dan aktif serta aktiviti komuniti.

Projek itu turut meliputi muzium ikonik, universiti teknologi dan reka bentuk, teater tiga dimensi pelbagai guna dan lebih 80 tempat hiburan dan kebudayaan.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA) projek berkenaan bakal dibangunkan di persimpangan jalan Raja Salman dan Raja Khalid ke barat laut Riyadh yang meliputi kawasan seluas 19 kilometer persegi.

Projek ini akan menawarkan lebih 25 juta meter persegi keluasan lantai merangkumi :-

- Lebih 104,000 unit kediaman

- 9,000 bilik hotel

- Lebih 980,000 meter persegi ruang runcit

- 1.4 juta meter persegi ruang pejabat

- 620,000 aset rekreasi

- 1.8 juta meter persegi ruang khusus untuk kemudahan komuniti

Pelancaran NMDC dijangka menambah SAR180 bilion kepada KDNK bukan minyak dan mewujudkan 334,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung menjelang 2030.

Projek itu dijangka siap pada 2030.

Sumber: BERNAMA

Destination: