[VIDEO] Imej Kilat Sambar Menara Jam Di Mekah Buat Ramai Terpegun!
TERKINISenario yang jarang berlaku telah berjaya dirakam dari ketinggian pergunungan Makkah melalui video yang tular di media sosial, memperlihatkan kilat menyambar menara jam pada jam 8 malam Selasa (22 Ogos), waktu tempatan.
Pengguna media sosial telah berkongsi foto dan video adegan yang jarang berlaku menunjukkan kilatan petir yang tebal mengenai bahagian atas menara jam Makkah dan menerangi langit selama empat jam, lapor The Gulf Today.
Menara jam Abraj Al-Bait Towers juga dikenali sebagai Makkah Clock Royal Tower (Menara Jam Diraja Mekah) adalah sebuah kompleks utama di Kota Suci Makkah, Arab Saudi.
Tapak kompleks menara jam tersebut menempatkan bangunan kediaman dan kompleks hotel yang terdiri daripada tujuh menara gergasi terletak di seberang jalan ke selatan dari pintu masuk ke Masjidil Haram (Haram al-Sharif) yang menempatkan Kaabah.
Projek ini bertujuan untuk menjadikan masa Makkah sebagai salah satu masa yang utama di dunia dalam menghadapi saingan masa Greenwich, yang akan dihubungkan dengan pusat-pusat Jam Masa terbesar dan utama dunia seperti di London, Paris, New York dan Tokyo.
Saiz menara jam tersebut enam kali lebih besar daripada menara jam Big Ben yang terkenal di London itu turut mempunyai balkoni untuk pelawat di bawah setiap jam.
Menara Jam Diraja Makkah itu menjadi ‘Pusat Masa Makkah’ iaitu pangkalan Coordinated Universal Time ‘T-U-C’ dan penunjuk jam terkemuka dunia.
Puncak menara di atas jam telah ditambah setinggi 71 meter (233 kaki) lagi bagi menghasilkan jumlah ketinggian 601 meter (1972 kaki) yang telah menjadikannya bangunan kedua tertinggi di dunia selepas bangunan Khalifa Dubai Burj di Dubai dan mengatasi Taipei 101 di Taiwan.
Sementara itu, arca bulan sabit yang tersergam indah dan gah di puncak menara jam ini telah dibina pada Jun, 2011.
Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.
Menara jam di kompleks ini adalah juga bangunan paling tinggi di Arab Saudi dengan ketinggian 601 meter (1972 kaki). Ia turut mengatasi ‘Emirates Park Towers’ di Dubai sebagai hotel tertinggi di dunia. Klip video juga menunjukkan angin kencang merobohkan penghadang dan pembersih di halaman Masjidil Haram di Makkah.
Sehubungan itu, Pusat Meteorologi Kebangsaan di Arab Saudi mengumumkan bahawa awan petir kumulus akan berada di kawasan Asir, Jazan, Al-Baha, dan Makkah, dan akan bergerak ke arah barat, dengan jangkaan hujan sederhana hingga lebat dengan hujan batu dan risiko lebat hujan dan angin kencang.
Media tempatan melaporkan bahawa hujan lebat turun di kawasan berbeza di Makkah; dan pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan bahawa hujan akan menjadi ‘penyiraman belas kasihan dan rahmat kepada orang yang beriman ketika suhu di seluruh wilayah tersebut (sebelum itu) semakin meningkat’.
Kelihatan ramai jemaah umrah termasuk yang mendukung bayi tetap tegar meredah hujan sambil melakukan tawaf di Kaabah, walaupun beberapa orang telah membuka payung besar semasa hujan lebat itu melanda.
Jeddah dan kawasan lain di Saudi juga menyaksikan cuaca ribut; dengan video tersebut merakamkan kejadian tiang elektrik runtuh akibat angin dan hujan lebat di Jalan Asfan, di timur laut Jeddah.
Terdahulu pada awal Selasa, Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) mengeluarkan amaran memperincikan keadaan cuaca semasa di negara ini untuk 24 jam akan datang.
Ribut petir disertai angin aktif dijangka berlaku di kawasan seperti Madinah, Makkah, Asir, Jazan, dan Al Baha.
Sementara itu, wilayah Najran dan Tabuk dijangka menyaksikan angin permukaan yang menimbulkan debu.
Hafar Al-Batin, Al-Samman dan Rafha mencatatkan suhu maksimum 47 Celcius (°C), manakala Al-Soudah menyaksikan suhu rendah 14°C dengan tahap kelembapan meningkat kepada 95 peratus.
Terdahulu, paparan bercahaya menakjubkan fenomena kilat yang jarang berlaku menerangi langit kota suci Makkah itu pernah berlaku pada malam Jumaat, 5 Ogos 2022, yang didokumentasikan dalam YouTube sebelum tular melalui platform Twitter (kini dikenali sebagai X) menunjukkan panahan kilat meletup dari Menara Jam Diraja berkenaan ke arah langit, tidak seperti yang biasa dilihat dalam ribut petir.
Sumber: HARAKAH DAILY