Orang Malaysia Sakan Bercuti Ke Thailand, Tapi 2 Bekas PM Thai Pula Seronok Naik Beca & JJCM Kat Penang!

TERKINI
September 22, 2022 - 04:11 PM


Sekarang ini tengah trending orang kita dikatakan gemar melancong ke negara jiran, Thailand disebabkan kos bercuti di sana lebih murah, makanan yang sedap-sedap belaka dan banyak lokasi cantik.

Namun dalam pada rakyat Malaysia sakan bercuti ke negara gajah putih itu -- korang tahu tak yang 2 bekas Perdana Menteri Thailand pula tengah seronok melancong dan jalan-jalan cari makan di Pulau Pinang.

2 bekas Perdana Menteri Thailand yang dimaksudkan itu ialah pasangan adik-beradik Thaksin Shinawatra dan Yingluck Shinawatra yang dilihat berada di sekitar pusat bandar Georgetown sejak semalam (21 September 2022).

Menerusi laman Facebook Yingluck, kelihatan abang dan adik itu sedang bergembira mengunjungi Pasar Lebuh Cecil serta menikmati hidangan tempatan seperti char kuetiau, cendol, ais kacang dan rojak pasembur.

Malah, Yingluck turut memuat naik 16 keping foto dalam album Penang2022 yang turut memaparkan beliau dan abangnya bersiar-siar di sekitar pusat bandar dengan menaiki beca.

Mereka turut meluangkan masa merakam gambar kenangan di beberapa lokasi lukisan mural popular di negeri ini antaranya di Lebuh Armenian dan Lebuh Cannon.

"Datang ke Pulau Pinang buat kali kedua. Setelah sekian lama datang mencari kenangan lama bersama abang," tulis Yingluck dalam hantaran tersebut.

Hantaran itu mendapat 43,000 tanda suka dan dihujani ribuan komen selain dikongsi hampir 1000 kali sejak dimuat naik pada pukul 11 pagi, 22 September 2022.

Thaksin, 73 tahun dan Yingluck, 55 tahun tampak ceria dan tidak menolak apabila diajak bergambar oleh masyarakat setempat yang kelihatan teruja melihat kemunculan mereka di sekitar tempat tumpuan pelancong berkenaan.

Untuk rekod -- Thaksin merupakan Perdana Menteri Thailand sejak 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006.

Manakala Yingluck adalah Perdana Menteri wanita pertama di Thailand dan berkhidmat antara 2011 dan 2014.

Destination: