"Panik Kerana Oksigen Makin Kurang!" - Pengunjung Menara Taming Sari Yang Tersangkut Kongsi Pengalaman

TERKINI
July 03, 2023 - 11:53 AM


Sempena cuti Raya Aidiladha baru-baru ini, ramai yang mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan bersama keluarga. Khususnya, tempat-tempat menarik di kampung halaman. Macam biasa, Melaka akan padat dengan pengunjung ketika cuti panjang mahupun hujung minggu.

Antara lokasi tumpuan, sudah tentunya menara ikonik Taming Sari. Namun siapa sangka, insiden mencemaskan berlaku kepada 36 orang pengunjung. Beberapa pengunjung yang tersangkut pada ketinggian 60 meter ketika menaiki pelantar tinjau ikonik Menara Taming Sari dikatakan mengalami sesak  nafas sebelum berjaya dibawa turun dengan selamat.

Seorang mangsa dari Bedong, Kedah, Zuliani Zulkeple, 42, berkata, dia bersama 12 ahli keluarganya tiba di negeri ini semalam, dan mengambil peluang untuk melihat pemandangan Melaka dengan menaiki pelantar tersebut sekitar pukul 5.30 petang.

Ujarnya, kesemua pengunjung sempat merakamkan gambar pemandangan di puncak menara yang berketinggian 110 meter sebelum pelantar itu tiba-tiba berhenti berpusing lebih 30 minit ketika ia turun, menyebabkan suasana gembira bertukar panik.

“Keluarga saya juga mula panik kerana bekalan oksigen terasa semakin terhad, apatah lagi kami membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta bayi setahun enam bulan.

“Ada beberapa pengunjung seperti mengalami sesak nafas dan duduk berhampiran pintu servis untuk mendapatkan oksigen yang masuk di celahnya kerana pelantar tersebut tidak mempunyai tingkap,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Tambahnya, beberapa pengunjung yang lain pula dilihat sibuk mengipas ahli keluarga masing-masing bagi mengawal keadaan cemas itu.

Kata jururawat Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani itu lagi, kesemua pengunjung terpaksa berdepan situasi tersebut hampir satu jam sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba.

“Pekerja penyelenggara menara telah memanjat naik ke pelantar menerusi tali kabel untuk menggerakannya secara manual.

“Sampai sahaja di bawah, pasukan bomba terus memecahkan kunci pintu bagi mengeluarkan kami semua,” katanya.

Destination: