[VIDEO] "Dah Macam Gempa Bumi" - Siling Dataran Pahlawan Roboh, Peniaga Suka Gantung Barang Jadi Punca

TERKINI
December 13, 2022 - 12:43 PM


Suasana tenang di sebuah pusat beli belah Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka -- bertukar kecoh apabila bumbung premis niaga di situ dilaporkan runtuh dan menghempap beberapa barang niaga pada Ahad.

Kejadian itu difahamkan berlaku di sebuah kawasan jualan barangan kraf tangan di pusat beli belah terbabit yang sekali gus mengakibatkan pemilik kedai terpaksa menanggung kerosakan dan kos kerugian susulan insiden tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman dalam satu kenyataan berkata, sikap peniaga yang suka menggantung barangan niaga pada struktur siling menjadi punca kejadian itu.

Menurutnya, selain meletakkan bebanan pada siling, siasatan awal juga mendapati, terdapat kebocoran kecil berpunca dari lantai bahagian atas Dataran Pahlawan.

@chinapress_melakaregion ohh no. Siling RUNTUH di.Melaka.#foryoupage #FYP #中国报 #今日马六甲 #马六甲人 #tiktokmalaysia🇲🇾 ♬ オリジナル楽曲 - Dinosaurus

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Melaka, Muhammad Izwan Mat Nor berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam keruntuhan tersebut.

“Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan semua mangsa berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.

“Kejadian berlaku sekitar pukul 10 malam dan sebaik pangilan kecemasan diterima, anggota kami terus bergegas ke lokasi berkenaan.

“Jumlah kerugian tidak dapat dipastikan tapi memang banyak kerosakan berlaku kerana premis di situ agak padat dan sempit,” katanya. 

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) difahamkan akan melakukan proses pembaikan segera bagi membolehkan peniaga kembali berniaga namun kos anggaran pembaikan masih belum boleh dipastikan buat masa ini. 

Destination: