Pasar Payang Diroboh April Ini, Bakal Berubah Wajah 2 Tahun Lagi!



Sesiapa yang bercuti ke Terengganu, tak sah kalau tak singgah ke Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang untuk aktiviti wajib iaitu shopping! Hahaha…

Mana taknya, kat situlah port terbaik kalau nak cari macam-macam produk keluaran ‘Ganu Kita’ seperti kain batik, sutera, songket, keropok lekor, kuih-muih tradisional dan banyak lagi lah.

Tapi, korang tahu tak sebenarnya mulai April ini bangunan Pasar Payang akan dirobohkan untuk digantikan dengan sebuah pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung dan dijangka siap 2 tahun lagi.

Ya, bangunan ikon yang telah berdiri kukuh selama 51 tahun itu di Kuala Terengganu bakal berubah wajah sepenuhnya pada 2021!

Buat pengetahuan korang, ketika ini kesemua lebih 500 peniaga yang majoritinya Melayu telahpun berpindah secara berperingkat ke bangunan lain yang terletak kira-kira 80 meter sahaja dari bangunan asal.

Nama Pasar Payang, diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri itu.

Pada awalnya ia hanyalah deretan gerai berasaskan kayu dan dinaik taraf pada tahun 1968, sebelum dirasmikan Yang di-Pertuan Agong keempat yang juga Sultan Terengganu ke-16, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos tahun sama.

Meskipun rata-rata peniaga berasa sayu untuk meninggalkan pasar yang penuh dengan kenangan dan nostalgia mencecah separuh abad, namun mereka terpaksa akur dengan pelan pembangunan yang diharap dapat mengembalikan kegemilangan Pasar Payang, seperti suatu masa dahulu.

Pasar Payang beroperasi seawal 7 pagi hingga 6 petang di bangunan setinggi 2 tingkat.

Di tingkat atas, kebanyakkan peniaga menjual kain batik dan songket asli Terengganu, manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual barangan basah, rempah ratus dan barang kemas.

P/S: Harap lepas ni Pasar Payang akan jadi lebih canggih dan dapat tarik jutaan pelancong membeli-belah kat sana! Peniaga pun boleh masyukkkk....