Pelancong Berdepan Hukuman Mati Jika Selfie Berhampiran Lapangan Terbang Phuket!





Demi sekeping gambar untuk dipost dalam laman media sosial, ramai yang sanggup melakukan apa sahaja demi menarik perhatian followers mereka.

Dan siapa yang tak teruja kalau dapat bergambar di tepi pantai dengan kelibat pesawat gergasi seakan terbang di atas kepala kita seperti yang menjadi kegilaan pelancong yang bercuti di Pantai Mai Khao berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, Thailand.

Tapi, sebab dah terlalu ramai pelancong yang suka menangkap gambar dan berselfie begitu, akhirnya meletup juga kemarahan pihak pengurusan lapangan terbang tersebut yang menyifatkan tindakan pelancong itu boleh mengganggu tumpuan juruterbang.

Menurut laporan Mirror.uk, selepas ini mana-mana pelancong yang masih degil bergambar ketika kapal terbang sedang berlepas atau mendarat, mereka boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan!

Pengurus Besar lapangan terbang terbabit, Wichit Kaewsaithiam memaklumkan pihaknya akan mewujudkan zon keselamatan yang diklasifikasikan sebagai kawasan larangan bergambar.

Amaran turut dikeluarkan kepada pelancong yang melepaskan dron di kawasan itu dan penggunaan pen laser yang boleh menjejaskan tumpuan juruterbang mengendalikan pesawat, selain bimbang dengan keselamatan pelancong yang bergambar di situ.

Penalti maksimum bagi pesalah ialah hukuman mati.

Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhkan diri dari kawasan larangan itu bagi mengelak sebarang kemalangan.

Segala peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk melindungi pendengaran pengunjung akibat bunyi bising enjin pesawat.

Penalti untuk mana-mana pihak yang termaktub dalam peraturan itu termasuk hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara lima dan 20 tahun di bawah Akta Penerbangan 1978.

Sumber: Mirror.uk

;