Pelanggan Termakan Roti Berkulat, ZUS Coffee Bagi Alasan 'Chiller' Rosak!

TERKINI
February 07, 2023 - 03:27 PM


Baru-baru ini viral di media sosial apabila seorang wanita berkongsi kisah malang di mana anaknya nyaris termakan roti berkulat yang djiual sebuah premis minuman kopi terkenal di Kuala Lumpur.

Kejadian itu dimuat naik di media sosial apabila dia membeli roti di premis berkenaan dan menyedari keadaan makanan tersebut selepas anaknya mengatakan ia sedap.

"Saya dapat roti add-on kulat, nasib tak tumbuh cendawan, anak dah makan separuh, nasib dia kata sedap lepas itu dia nak makan sosej.

"Waktu dia nak ambil sosej itu, ada kulat nasib baik nak buang roti itu, kalau tak habis dah ditelan, geli tak tahu berapa minggu dah dia pergi panaskan roti itu," katanya.

Menerusi gambar keadaan roti sosej itu kelihatan kulat di makanan sudah bertukar warna putih dan sedikit kehijauan.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Keabadian Cinte turut menceritakan lebih lanjut tentang situasi yang dialaminya.

"Selepas insiden itu berlaku, saya pergi beritahu pekerja terbabit tentang hal roti berkenaan.

"Mereka meminta maaf dan ganti rugi dengan roti baharu beserta baucer," katanya.

Namun wanita itu tidak berpuas hati dengan roti baharu yang diterimanya kerana makanan tersebut tidak dipanaskan dengan betul dan masih ada ais batu.

"Roti sosej yang baru pun tak berapa panas dan masih ada ais di dalam, saya merasakan dia hanya panaskan sekejap sahaja.

"Saya tak tahu SOP masa mereka ambil untuk panaskan makanan tersebut dan berapa lama makanan perlu disimpan jika tidak habis dijual," jelasnya.

Tambahnya lagi, dia turut meminta pekerja di kedai minuman kopi terkenal itu untuk menjelaskan insiden yang berlaku itu.

"Saya dah minta staf dekat sana explain macam mana boleh jadi macam ini.

"Mereka hanya kata mungkin roti itu tercampur dengan yang lama.

"Alasan mereka tidak logik sebab buat kerja sambil lewa dan membolehkan terkena keracunan makanan," ujarnya.

Wanita itu turut memaklumkan keadaan anaknya selepas termakan roti terbabit dan sempat memberi teguran kepada peniaga-peniaga makanan di luar sana.

"Saya bersyukur anak tidak terkesan dan sihat selepas makan makanan tersebut.

"Namun saya harap perkara ini tidak terkena kepada orang lain dan kedai menjual makanan perlu teliti dalam menguruskan makanan frozen macam ini, jangan fikirkan keuntungan sahaja," luahnya.

ZUS COFFEE TAMPIL MOHON MAAF, PERJELAS KEADAAN SEBENAR

Susulan daripada hantaran viral itu, premis kopi berkenaan iaitu Zus Coffee telah tampil menerusi Twitter untuk memohon maaf atas insiden tersebut dan menjelaskan punca sebenar perkara yang berlaku.

“Kami (ZUS Coffee) telah menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mendapati puncanya adalah dari kerosakan peti sejuk beku (chiller) makanan yang telah menjejaskan penyelenggaraan suhu di cawangan KL East Mall yang membawa kepada pencemaran dalam insiden itu.

“Kami telah menghubungi pelanggan berkenaan untuk memohon maaf dan menawarkan bayaran balik bagi pesanan itu dan cadangan panel perubatan serta pampasan untuk sebarang rawatan perubatan yang diperlukan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan kami sebaik sahaja pelanggan dapat dihubungi,” katanya.

Pihak ZUS Coffee dalam pada masa sama turut berterima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan pelanggan dan berjanji untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Namun menerusi semakan, permohonan maaf itu tidak dikongsikan di Facebook rasmi ZUS Coffee.

Sumber: Majoriti

Destination: