'Percutian Bertukar Tragedi' - Ibu Hamil & Anak 6 Tahun Warga Malaysia Jadi Korban Bot Terbalik Di Krabi

TERKINI
January 27, 2023 - 11:34 AM


Siapa sangka percutian untuk membawa anak kecilnya bercuti ke Krabi, Thailand bertukar menjadi tragedi apabila bot yang dinaiki tiga sekeluarga dari Malaysia dipukul ombak besar menyebabkannya terbalik.

Lebih menyayat hati ialah si ibu yang juga sedang hamil bersama anak perempuannya berusia 6 tahun turut maut kerana bot terbalik dan lemas berhampiran pantai wilayah Krabi, pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) itu -- wanita berusia 36 tahun bersama suaminya berusia 38 tahun dan anak perempuan mereka dalam perjalanan menuju Pulau Poda.

Gabenor wilayah Krabi Passakorn Bunyalak berkata, bot yang dinaiki mereka dipercayai dipukul ombak besar menyebabkan ia terbalik.

"Keluarga itu dan pengendali bot hanyut di laut sebelum diselamatkan oleh nelayan tempatan.

"Kesemua mereka dibawa ke darat di Jeti Klong Sai dan dikejarkan ke Hospital Krabi.

"Wanita itu dan anak perempuannya tidak sedarkan diri ketika nelayan menemukan mereka. Mereka kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, suaminya dan pengendali bot warga Thailand berusia 45 tahun terselamat dan dilaporkan dalam keadaan baik, kini berada di bawah pengawasan rapi pihak hospital.

Ketika dihubungi Bernama, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid berkata, pejabat konsulat sedang berusaha memberikan bantuan yang sewajarnya untuk menghantar pulang jasad mangsa ke Malaysia.

Sumber: Bernama

Destination: