Percutian Impian Musnah Ditipu Ejen Dalam Group WhatsApp “Geng Buru Tiket Murah”

TERKINI
June 28, 2019 - 12:18 PM


Kerap kali kita mendengar kes penipuan yang melibatkan pakej pelancongan ni, kan?

Tapi masih ada juga yang tetap terpedaya dan menjadi mangsa penipuan pihak yang suka mengaut keuntungan tanpa rasa perikemanusiaan.

Itu yang berlaku kepada seorang guru perempuan yang berhajat untuk melancong ke Jepun, namun impiannya musnah selepas didapati pakej percutian yang ditawarkan ejen pelancongan yang dikenali dalam kumpulan WhatsApp “Geng Buru Tiket Murah” sebenarnya tidak wujud langsung!

Menerusi laporan Utusan hari ini, guru berusia 34 tahun itu pada mulanya bersetuju ejen tersebut menguruskan trip melancong ke Jepun selama 5 hari 4 malam dengan bayaran RM3,400 sehingga mangsa telah mencari 19 peserta dalam kalangan kawan-kawannya.

Bermula Januari sehingga Disember tahun lalu, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat melalui 11 kali transaksi ke dalam dua akaun bank lelaki itu berjumlah RM60,781.

Namun pada awal Disember lalu, ejen pelancongan berkenaan memaklumkan bahawa trip ke Jepun ditunda kepada tarikh baharu iaitu pada 7 hingga 12 Disember tahun lepas.

Sehari sebelum berlepas, mangsa menerima tempahan penerbangan daripada ejen berkenaan, bagaimanapun setelah ingin mendaftar masuk, didapati nombor tersebut tidak wujud.

Bahkan, setelah diperiksa tempahan hotel yang dibuat ejen juga nyata tiada!

Lebih menyedihkan adalah mangsa dikatakan mengambil risiko dengan mengeluarkan wang sendiri bagi menampung segala urusan semua peserta di Jepun dalam tempoh lima hari tersebut.

Ejen pelancongan itu pula didakwa memberi pelbagai alasan dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap permasalahan tersebut, malah telah menyekat nombor telefon dan akaun Facebook mangsa.

Berasakan dirinya telah tertipu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, Pahang, semalam.

P/S: So, korang pun hati-hati jangan sampai tertipu macam cikgu ini. Kesian dia..Nah, baca ini untuk Tip Travel Bagi Mengelakkan Di Tipu Agency Travel Haram!!